Adun DAP dipanggil sebagai saksi, bukan suspek

Adun DAP dipanggil sebagai saksi, bukan suspek

Adun Sungai Pinang itu memberi keterangan sebagai saksi dalam kes rasuah bapanya.

Lim-Siew-Khim
GEORGE TOWN: Adun Sungai Pinang, Lim Siew Khim dipanggil sebagai saksi, bukannya suspek dalam kes rasuah bapanya, Keat Seong.

Peguamnya, Ramkarpal Singh berkata, wakil rakyat DAP itu memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kenyataan sudah diambil.

“Beliau ialah saksi, bukannya suspek, kerjasama penuh untuk kes ini sudah diberikan.

“Sama ada suspek akan didakwa atau sebaliknya, kita tidak tahu,” katanya di luar pejabat SPRM di Jalan Northam hari ini.

Ramkarpal berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 16b Akta SPRM 2009, kerana memberi, berjanji atau menawarkan kepada seseorang demi manfaat orang lain.

Sementara itu, Ramkarpal dan rakan sekerjanya, R S N Rayer berkata, mereka tidak terbabit dalam kes bapa Siew Khim.

Ahad lalu, laman Facebook Penang Kini mendedahkan satu rakaman video mendakwa Keat Seong adalah orang tengah dan pelanggannya mengadu gagal mendapat rumah mampu milik seperti dijanjikan.

Orang tengah yang bertindak sebagai pendamai itu berkata, Keat Seong akan memulangkan wang yang diambil daripada mereka secara ansuran.

Siew Khim segera memberi penjelasan dengan berkata, beliau tidak tahu dan tidak terbabit dalam kegiatan rasuah bapanya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo pula berkata, tidak mungkin pemohon boleh membayar untuk mendapatkan rumah mampu milik.

Dalam pada itu, pembantu Mahkamah Majistret, Muna Maria Azmi hari ini mengeluarkan perintah reman tujuh hari ke atas Keat Seong kerana didakwa terbabit dalam skandal “rasuah untuk rumah mampu milik”.

Warga emas berusia 68 tahun itu menyerah diri di pejabat SPRM, semalam dan disoal siasat kira-kira lima jam sebelum dibawa ke dua pangsapuri yang menyaksikan pelbagai dokumen disita.

Difahamkan, dia mengenakan bayaran RM260 bagi setiap permohonan dan bayaran lain untuk memastikan pemohon mendapat rumah mampu milik mereka.

Pautan:

DAP Pulau Pinang tidak akan siasat isu rasuah bapa Siew Kim

‘Uncle Lim’ serah diri kepada SPRM

Gerakan dedah video bapa Adun DAP terlibat rasuah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.