3 belia ditembak mati: Polis kata SOP tak perlu dinilai semula

3 belia ditembak mati: Polis kata SOP tak perlu dinilai semula

Ini kerana SOP sedia ada sudah lengkap dan mereka yang tidak mahu patuhi piawaian itu akan dipertanggungjawabkan.

khalid
PETALING JAYA: Polis tidak perlu menilai semula tatacara pengendalian piawai (SOP) susulan keputusan mahkamah memutuskan polis bertanggungjawab atas insiden tembak mati tiga belia di Shah Alam, 6 tahun lalu.

“Kita sudah ada SOP yang baik dan dibuktikan lengkap, hanya ia tidak dipatuhi. Mereka yang tidak mahu mematuhinya perlulah bertanggungjawab,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam sidang media seusai Majlis Penghargaan Petugas Aseanapol di Bukit Aman hari ini.

Pada 13 November 2010, Muhammad Shamil Shapiei (15 tahun), Mohd Hairul Nizam Tuah (20 tahun) dan Muhamad Hanafi (22 tahun) ditembak mati polis pada jam 4 pagi kerana disyaki merompak beberapa stesen petrol.

Menurut laporan Star Online hari ini, Mahkamah Rayuan mengarahkan Ketua Polis Selangor dan 10 pihak lain membayar ganti rugi (yang akan ditetapkan Mahkamah Tinggi) serta kos sejumlah RM40,000 kepada keluarga ketiga-tiga mangsa.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan penyanyi rap kontroversi berhubung keadaan lokap balai polis yang daif, Khalid akui keadaan sesetengah lokap perlu dibaiki.

“Di Lembah Klang sudah ada lokap berpusat yang moden dan lengkap, tetapi di balai lama masih dalam peringkat pembaikan,” katanya.

Selepas dibebaskan daripada tahanan 4 hari di Lokap Berpusat Bayan Baru, Pulau Pinang, Namewee dalam status Facebook mendakwa keadaan lokap yang daif serta layanan terhadap pendatang asing tanpa izin yang teruk.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab semalam menafikan dakwaan itu dan menggesa Namewee membuat laporan polis.

“Tentulah (polis akan meneliti aduan Namewee). Kita sedar apa yang dia katakan,” kata Khalid.

Namun Khalid menggesa orang ramai agar tidak mempercayai sepenuhnya dakwaan Namewee, atau nama sebenarnya Wee Meng Chee.

“Ini cakap orang yang baru keluar lokap, dan orang yang sedang marah akan kata macam-macam. Kita jangan anggap 100% yang dia kata itu benar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.