‘Uncle Lim’ serah diri kepada SPRM

‘Uncle Lim’ serah diri kepada SPRM

Pesara 68 tahun itu secara sukarela menyerah diri untuk membantu siasatan SPRM negeri, ditemani anaknya seorang wakil rakyat DAP dan peguam

uncle-lim-1
GEORGE TOWN:
‘Uncle Lim’ yang didakwa menjalankan kegiatan sogok untuk rumah mampu milik di Pulau Pinang, menyerah diri di ibu pejabat SPRM di Jalan Northam hari ini.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Abd Aziz Aban berkata penyiasat cuba mencari Lim Keat Seong, 68, ketika cerita itu mula dilaporkan tetapi gagal dikesan.

Pesara itu bagaimanapun serah diri secara sukarela sekitar jam 1 petang tadi untuk membantu siasatan.

“Keat Seong beri kerjasama kepada kita. Dia hadir bersama anaknya (Adun DAP Sungai Pinang Lim Siew Khim) dan seorang peguam.

“Buat masa ini masih terlalu awal untuk sebarang ulasan,” katanya ketika dihubungi.

Ahad lepas, laman penggabung berita politik tempatan di Facebook, Penang Kini, memuatnaik video memaparkan bapa wakil rakyat DAP itu, Lim Keat Seong, sebagai seorang ejen rumah mampu milik.

Video itu memaparkan pesara 68 tahun yang digelar ‘Uncle Lim’ dimarahi seorang pelanggan yang tidak berpuas hati kerana tidak mendapat rumah mampu milik yang dijanjikan. Video itu dirakam secara rahsia di sebuah kedai kopi hujung tahun lalu.

Seorang pengantara dilihat menguruskan pengembalian wang secara ansuran kepada pelanggan itu.

Difahamkan Uncle Lim antara lain meminta bayaran perunding sebanyak RM260 untuk mendapatkan rumah mampu milik.

Siew Khim menjauhkan diri daripada dakwaan terhadap bapanya itu, dan berkata tidak tahu menahu akan urusan bapanya. Beliau menafikan sebarang pembabitan, dan berkata Gerakan mencemar namanya dengan menganginkan beliau terbabit dalam kegiatan itu.

Gerakan Pulau Pinang menuntut penjelasan lanjut daripada kerajaan negeri, kerana memberi jawapan yang “tidak memuaskan”.

Parti itu akan bertemu Gabenor Datuk Seri Abdul Rahman Abbas bagi membincangkan kemungkinan mengadakan Suruhanjaya Siasatan keatas perkara itu, kerana Kerajaan Pulau Pinang bersikap acuh tak acuh.

Exco Perumahan Jagdeep Singh Deo menafikan kewujudan kegiatan sogok untuk rumah Uncle Lim itu, dengan mendakwa tidak mungkin orang ramai boleh bayar untuk “pintas” proses pemilihan yang ketat.

PAUTAN:

DAP Pulau Pinang tidak akan siasat isu rasuah bapa Siew Kim

Saya tak tahu kegiatan bapa, kata Adun P Pinang

Gerakan dedah video bapa Adun DAP terlibat rasuah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.