MO1 memang Najib, kata Rahman Dahlan

MO1 memang Najib, kata Rahman Dahlan

Ia merupakan kali kedua menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menamakan presiden Umno adalah Malaysian Official 1 yang dirujuk pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Rahman Dahlan
PETALING JAYA: Datuk Abdul Rahman Dahlan sekali lagi menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak orang yang dimaksudkan sebagai “Malaysian Official 1” (MO1), seperti dirujuk Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam dokumen permohonannya merampas aset 1MDB Julai lalu.

Badan penyiaran Britain BBC memetik menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai berkata perkara itu tidak perlu diragukan lagi.

“Saya sudah nyatakan secara terbuka. Kalau dokumen (DOJ) itu dibaca, ia merujuk kepada perdana menteri,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Abdul Rahman yang juga merupakan pengarah strategik Barisan Nasional, nama Najib tidak disebut dokumen tersebut kerana beliau bukan sebahagian daripada siasatan.

“Terdapat orang lain yang dinamakan… dan Jabatan Kehakiman akan membawanya ke mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya.

Ini merupakan kali kedua Abdul Rahman menamakan Najib.

Awal Ogos, beliau berkata identiti di sebalik MO1 bukan sesuatu yang rahsia.

“Tidak ada misteri tentang Malaysian Official 1, hanya orang bodoh tidak tahu siapa orang itu,” katanya kepada seorang wartawan Malaysiakini.

Sebelum ini, pemimpin Umno enggan menafikan atau menyetujui sama ada MO1 merujuk kepada Najib.

Pada 20 Julai, DoJ memfailkan saman untuk merampas aset bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Dokumen 130 muka surat membutirkan hasil siasatannya turut menamakan beberapa individu, termasuk anak tiri Najib, Riza Aziz, yang didakwa menggunakan berjuta dolar daripada 1MDB bagi pengeluaran filem Hollywood “The Wolf of Wall Street”.

Dokumen tersebut bagaimanapun tidak menamakan Najib, tetapi menyebut MO1 sebanyak 36 kali, yang sering dikaitkan dengan Najib, walaupun disangkal beberapa pemimpin Umno.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad mencetuskan kemarahan selepas mendakwa MO1 atau “pegawai Malaysia pertama” yang disebut pihak berkuasa AS itu merujuk kepada Yang Di-Pertuan Agong. Beliau kemudian membuat permohonan maaf atas kenyataannya.

Pada 27 Ogos, lebih 2,000 orang yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar berkumpul di Kuala Lumpur menuntut kerajaan menamakan identiti MO1 dan mengambil tindakan.

 

DoJ patut dapatkan penjelasan 1MDB – Abdul Rahman

Polis digesa tangkap Nawawi selepas mendakwa ‘MO1’ merujuk Agong

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.