Pendrive bukan jawapan masalah bola sepak negara, kata bekas jurulatih

Pendrive bukan jawapan masalah bola sepak negara, kata bekas jurulatih

Bolehkah pendrive membetulkan pemain kita bermain untuk Chelsea tahun depan? Adakah Safiq Rahim boleh bermain untuk Chelsea kalau isu pendrive dibetulkan, soal B. Satianathan.

B. Satianathan
PETALING JAYA: Isu pendrive yang didakwa mengandungi maklumat ketirisan dan salah laku Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan membawa sebarang perubahan besar kepada bola sepak negara, kata bekas ketua jurulatih negara, B. Satianathan.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM) itu berkata hanya pembangunan akar umbi di peringkat bawahan saja akan merubah keadaan pada masa kini, bukannya isu pendrive yang diperoleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenaan.

“Pendrive itu tidak boleh betulkan FAM atau bola sepak negara, kerana untuk membangunkan bola sepak, akar umbi perlu diberikan penekanan.

“Pendrive hanya boleh tarik salah laku, tetapi tak terlibat pemain. Bolehkah pendrive itu betulkan pemain dalam sekelip mata,” katanya kepada FMT.

Satianathan berkata isu pendrive harus diselesaikan segera dengan membawanya ke muka pengadilan dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin tidak boleh merahsiakan perkara itu kerana bola sepak ialah sukan rakyat.

“Kalau ada kelemahan pentadbiran kita betulkan. Tetapi kalau ada yang salah daripada segi undang-undang kita kena bawa ke muka pengadilan. Kita tidak boleh ‘sweep under the carpet’,” katanya.

Semalam, Khairy berkata beliau memerlukan masa untuk membaca semua dokumen dalam pendrive yang diserahkan TMJ kepadanya baru-baru ini.

Khairy berkata terdapat 279 halaman dan membacanya secara terperinci kandungannya malam tadi namun mengakui tidak dapat menghabiskannya dalam masa satu malam.

Satianathan berkata mutu bola sepak negara merosot bukan berpunca daripada pendrive tetapi disebabkan negara ketandusan pemain bermutu tinggi seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Mokhtar Dahari dan Tan Sri Datuk Abdul Ghani Minhat.

“Bintang apa yang ada sekarang ini? Kalau hendak cakap pasal seorang bintang di sini, di Thailand ada 20 hingga 30 bintang sama kuat, kerana mereka ada program akar umbi yang bagus.

“Bolehkah pendrive membetulkan pemain kita bermain untuk Chelsea tahun depan? Adakah Safiq Rahim boleh bermain untuk Chelsea kalau isu pendrive dibetulkan?” soalnya.

Sebelum ini, TMJ memutuskan untuk menyerahkan pendrive itu kerana tidak mahu mempunyai sebarang masalah dengan FAM, selain mahu memberi tumpuan kepada kelabnya.

Pautan

Ada 279 halaman dalam pendrive, kata Khairy

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.