
Dalam satu kenyataan keras terhadap bekas timbalan perdana menteri itu, setiausaha akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sariffuddin turut mempersoalkan kredibiliti Muhyiddin yang menurutnya membawa imej seorang warak sepanjang karier politiknya.
“Kredibiliti dan pegangan moral Tan Sri Muhyiddin sudah hancur. Jelas beliau bercakap sesuatu demi kesesuaian politik tetapi melakukan sebaliknya dalam arena peribadi.
“Begitu juga ketika beliau menyerang perdana menteri dengan tuduhan palsu mengenai rasuah, apabila orang dalam sedia maklum sejarah sebenarnya ketika memangku menteri besar Johor dulu,” katanya, tanpa memberikan butir lanjut.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kes cerai melibatkan bekas pendakwa raya Stanley Clement Augustin dan isterinya Nika Gee Siew Yee.
Stanley dalam akuan bersumpahnya menuduh Nika mengadakan hubungan intim dengan lelaki lain.
Sebelum ini, Muhyiddin menafikan tuduhan mengaitkan beliau dengan Nika, dan mendakwa ia fitnah jahat disebarkan untuk merosakkan integriti beliau.
Sabtu lalu, Muhyiddin mendakwa Najib sudah menerima sejumlah RM1 bilion ke dalam akaun bank peribadi lama sebelum pendedahan presiden Umno itu menerima RM2.6 bilion.
Ahli Parlimen Pagoh itu dipecat daripada kabinet pada Julai tahun lalu selepas mengkritik Najib kerana menerima wang RM2.6 bilion. Najib dan pemimpin Umno mendakwa wang tersebut merupakan sumbangan Arab Saudi kepada parti dan bukan dana berkait 1MDB seperti didakwa The Wall Street Journal yang memetik dokumen siasatan.
Sariffuddin berkata dakwaan mengenai wang yang diterima Najib sudah pun disiasat, malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan ia merupakan sumbangan keluarga diraja Arab Saudi.
Katanya, Muhyiddin, yang kini menunggu pendaftaran Parti Peribumi Bersatu Malaysia naungan Tun Dr Mahathir Mohamad, ibarat boneka kepada bekas perdana menteri itu.
“Dia seorang yang terdesak. Mengapa perlu percaya kata-katanya?”