
Beliau menunggang motosikalnya ditemani beberapa pegawai daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bermula dari stesen LRT Universiti sehingga ke Shah Alam.
Bercakap pada sidang media selepas sesi perjalanan itu berhenti rehat di plaza tol Batu 3 menuju pulang ke KL, Fadillah menyebut mengenai beberapa isu yang diperhatikannya sepanjang laluan itu.
Antara isunya ialah laluannya terlalu kecil, beberapa terowong masih terlalu gelap, banyak semak-samun yang boleh digunakan pencuri pada waktu malam, selekoh tajam, kurang pagar antara jalan dan sungai, laluan masuk dan keluar terlalu pendek dan tapak pembinaan mengambil kawasan laluan sikal.
“Di jalan antara KL ke Petaling Jaya, jalannya masih terlalu kecil tetapi kita mungkin berdepan masalah untuk melebarkannya kerana tidak ada ruang mencukupi untuk berbuat demikian.
“Bagi selekoh tajam mungkin kita boleh letak bonggol dan memastikan papan tanda mencukupi untuk beri amaran kepada penunggang supaya memperlahankan motosikal sebelum membelok.
“Saya faham jalan sementara kepada penunggang sepanjang di mana kerja pembinaan sedang dilakukan mungkin terlalu kecil tetapi anda terpaksa bertahan untuk sementara waktu dan patuh peraturan jalan serta berhati-hati dengan kelajuan sepanjang laluan itu,” katanya.
Fadillah berkata membaiki laluan sikal ialah proses berterusan dan itu sebabnya aduan daripada pengguna jalan raya sangat penting untuk memastikan pihak berkuasa tahu kawasan mana yang perlu dibaiki.
“Kami perlu baiki lubang dalam tempoh 24 jam tetapi lubang yang dibaiki hari ini mungkin rosak lagi esok. Jadi ini ialah kerja berterusan.”
Katanya, penunggang motosikal yang berdepan masalah di laluan itu boleh membuat aduan di aplikasi telefon Aduan Jalan KKR.
“Kami lancarkan aplikasi itu pada Mac tahun lepas dan setakat ini lebih 5,000 pengguna mendaftar,” katanya.
Aplikasi itu membenarkan pengguna menghantar lokasi GPS kawasan bermasalah, termasuk gambar serta butiran isu berkenaan.
Baru-baru ini, FMT menyiarkan temu bual eksklusif dengan menteri kerja raya di mana beliau berkata JKR tidak menerima sebarang aduan berkaitan keselamatan di laluan sikal.
Ramai pembaca mengecam kenyataan menteri itu dan ramai menjemputnya melihat sendiri keadaan di laluan sikal.