Saya bertanggungjawab bikin ‘Oh My God’, kata Namewee

Saya bertanggungjawab bikin ‘Oh My God’, kata Namewee

Namewee berkata, kumpulan hip hop dari Taiwan, Nine One One hanya menyanyi dan berlakon dalam video muzik itu.

Namewee
PETALING JAYA:
Penghibur kontroversi, Namewee menggesa pihak berkuasa tidak memburu kumpulan hip hop dari Taiwan kerana dia akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pembikinan klip video ‘Oh My God’ yang didakwa menghina Islam.

Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee berkata, hanya dia seorang yang menghasilkan klip video itu, termasuk daripada segi konsep kandungan, lirik dan lagunya.

Dia melalui catatan dalam Facebooknya baru-baru ini berkata, ‘Oh My God’ adalah soundtrack untuk filem ‘The Big Power’ manakala kumpulan Taiwan, Nine One One hanya menyanyi dan berlakon dalam klip video itu.

“Jika anda mahu cari orang yang bertanggungjawab, sayalah orangnya,” tulisnya dalam laman media sosial itu.

Pada 21 Ogos lalu, Namewee ditahan setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan direman selama empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa “mencemarkan tempat ibadat dengan niat untuk menghina agama.”

Dia kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis pada Khamis lalu, selepas mahkamah menolak permohonan menyambung tempoh reman Namewee.

Polis Pulau Pinang sebelum ini turut mendedahkan meminta bantuan Interpol untuk menjejaki Spring Wind, Ken G dan Onion yang menganggotai kumpulan hip hop dari Taiwan itu.

Dalam klip video itu, Namewee bersama tiga penyanyi dari Taiwan terbabit dilihat menyanyi dan menari di beberapa tempat ibadat di Pulau Pinang.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan pelbagai pihak dengan 20 badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap penyanyi rap yang pernah mencetuskan kontroversi dengan video ‘Negarakuku’ yang mengejek lagu kebangsaan.

Namewee bagaimanapun mendakwa klip video terbaharu itu dihasilkan bagi menggalakkan keharmonian agama dan keamanan di negara ini.

“Watak itu bukan pemimpin agama, tetapi hanya ‘watak wakil’.”

Beliau turut menyalahkan penahanannya ke atas “media Melayu ekstrem” yang menjadikan ia satu isu, sedangkan rakyat Malaysia berlainan agama tidak merasakan wujud sebarang kesalahan dengan klip video itu.

Namewee berkata, dia sudah mendapat kebenaran daripada pihak berkaitan sebelum merakamkan klip video itu di beberapa tempat ibadat.

Pautan:

Namewee bebas, polis gagal dapat lanjutan reman

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.