Mahkamah Perancis gantung larangan pakai bikini tutup aurat

Mahkamah Perancis gantung larangan pakai bikini tutup aurat

Mahkamah pentadbiran tertinggi di Perancis berkata, larangan itu "tidak sah dan jelas mencabuli kebebasan asasi seperti kebebasan untuk datang dan pergi, kebebasan beragama serta kebebasan individu".

burkini11
PARIS:
Mahkamah pentadbiran tertinggi di Perancis menggantung larangan memakai burkini yang dikuatkuasakan di bandar Villeneuve-Loubet, semalam.

Conseil d’Etat menggantung pelaksanaan larangan itu yang mencetuskan kemarahan di kalangan umat Islam, sementara menunggu keputusan muktamad dilakukan.

Ia susulan permintaan dikemukakan Liga Hak Asasi Manusia untuk membatalkan pengharaman burkini di bandar Mediterranean yang terletak di tenggara Perancis itu, atas alasan melanggar kebebasan awam.

Mahkamah itu dalam satu kenyataan berkata, larangan di bandar Villeneuve-Loubet itu “tidak sah dan jelas mencabuli kebebasan asasi seperti kebebasan untuk datang dan pergi, kebebasan beragama serta kebebasan individu”.

Menurut mahkamah itu, pemakaian burkini tidak membawa sebarang ancaman terhadap ketenteraman awam.

Menurut laporan media, 10 wanita Islam yang memakai burkini ke pantai ditahan polis di Cannes sepanjang tiga minggu lalu, di mana enam daripada mereka bertindak meninggalkan kawasan pantai, manakala empat lagi didenda 38 euro (RM171.54).

Larangan itu dikuatkuasakan atas alasan pemakaian burkini melanggar undang-undang sekularisme di Perancis, susulan satu siri serangan maut oleh pengganas di beberapa bandar, termasuk Paris dan Nice sejak 20 bulan lalu yang mengejutkan seluruh dunia.

Ramai ahli politik konservatif dan sayap kanan menyokong larangan itu dengan ada yang menggesa kerajaan memperluaskan pengharaman berkenaan ke seluruh negara.

Perdana menteri, Manuel Valls dalam reaksinya terhadap keputusan mahkamah itu berkata, Perancis memerlukan Islam yang moden serta sekular dan pemakaian burkini bertentangan dengan idea itu.

Beliau menerusi Facebooknya berkata, perdebatan mengenai burkini belum berakhir dan menyifatkan baju renang tutup aurat itu sebagai Islamisme mundur dan maut.

Isu itu turut mempengaruhi kempen awal pemilihan presiden pada April 2017, menjadikan identiti budaya Perancis dan keselamatan sebagai isu hangat dalam perdebatan politik.

Sementara itu, Timbalan Datuk Bandar Nice, Christian Estrosi melalui Twitternya menggesa perdana menteri menggubal satu rang undang-undang bagi melarang pemakaian burkini.

Beberapa datuk bandar lain bertegas tidak akan menggantung larangan burkini itu, manakala kumpulan hak asasi manusia pula mengugut akan membawa perkara itu ke mahkamah.

“Wujud ketegangan di sini dan saya tidak akan menarik balik arahan saya,” kata Datuk Bandar Sisco, Ange-Pierre Vivoni kepada BFM TV, dengan memberi alasan keselamatan untuk pelaksanaan larangan itu.

Seorang jurucakap parti pemerintah Sosialis yang juga seorang mufti, Dalil Boubakeur yang mengetuai Masjid Besar Paris, Dalil Boubakeur mengalu-alukan keputusan mahkamah itu dan berharap ia dapat meredakan keadaan di Perancis.

Seorang peniaga berasal dari Algeria, Hakim, 42, berkata selepas 30 tahun berada di Perancis, beliau mempertimbangkan untuk kembali ke tanah airnya, susulan larangan burkini itu.

“Ia tidak seperti dahulu lagi, Perancis sudah berubah dan ia tidak mudah bagi kami,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Paris.

PAUTAN:

Polis paksa wanita buka bikini tutup aurat di Nice

Perancis tahan 10 wanita pakai bikini ‘tutup aurat’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.