
Prasarana berkata demikian sebagai respon kepada penulis surat , “Upset LRT User, Puchong” yang diterbitkan dalam beberapa akhbar tempatan pada Selasa dan The Sun Daily semalam. Penulis itu berkongsi lawatan pertamanya menggunakan sambungan LRT Puchong.
Menurut penulis tersbeut, kos menggunakan kereta api dan bas transit mencecah RM25 sehari berbanding hanya RM10 untuk jalan raya bertol dan petrol ke tempat kerjanya.
Ketua Kumpulan Komunikasi dan Pemasaran Strategik Prasarana, Lim Jin Aun dalam kenyataanya semalam berkata, penulis mungkin tidak mengambil kira pelbagai aspek lain memiliki kenderaan persendirian.
“Kami percaya bukan semua pemilik kenderaan bernasib baik seperti beliau menikmati parkir kereta percuma di pejabat. Penulis juga mungkin secara tidak sengaja memberi diskaun kepada kos keseluruhan memiliki kereta persendirian sewaktu berkongsi pengalamannya.
“Bayaran RM4 (di stesen-stesen LRT) adalah yuran nominal untuk membiaya kos pengurusan dan pengendalian kemudahan parkir kerana tujuan utama kami adalah untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam,” katanya.
Lim turut menegaskan bayaran parkir di stesen LRT jauh lebih rendah berbanding tempat lain.
Di samping itu, tiket tanpa tunai yang digunakan oleh “Upset LRT User, Puchong” juga dikatakan bukan pilihan murah sebagai pengguna. Ini kerana Prasarana menawarkan tiket diskaun MyRapid Smart 30 dan MyRapid Smart 7 untuk pengguna kerap.
Tambang tanpa tunai (dibayar melalui kad simpanan nilai) untuk perjalanan di antara stesen LRT Jaya IOI Puchong dan Sunway-Setia Jaya BRT adalah RM8.20, dan bukan RM9 seperti yang dinyatakan oleh “Upset LRT User, Puchong”, jelas Lim.
Lim juga merujuk kepada seorang lagi penulis surat menggunakan nama “Regular LRT User” yang diterbitkan pada Rabu, menyatakan tambang RM7.20 untuk perjalanan pergi balik antara USJ dan Kuala Lumpur adalah lebih murah berbanding bayaran parkir yang terpaksa dibayar di Kuala Lumpur.
Prasarana menegaskan tambang satu hala antara Gombak dan Putra Heights menggunakan Aliran Kelana Jaya ialah RM4.40 untuk pengguna MyRapid Smart 30; RM5.40 bagi pilihan tanpa tunai; atau RM6.30 untuk pembelian tunai.
Bagi Aliran Sri Petaling, tambang sehala dari Sentul Timur dan Putra Heights ialah RM3.50 bagi MyRapid Smart 30 dan RM4.90 bagi tunai.
Lim akui sambungan LRT Puchong membolehkan penduduk Putra Heights ke KLCC pada kos lebih murah dengan jangka masa perjalanan yang lebih pendek berbanding pengguna jalan raya.
Prasarana adalah pemilik dan pengendali LRT Lembah Klang dan aliran monorel serta perkhidmatan bas Rapid di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuantan.