Himpunan TangkapMO1 bermula perlahan

Himpunan TangkapMO1 bermula perlahan

Penganjur menyasarkan 5,000 orang akan menyertai himpunan hari ini.

mo1
KUALA LUMPUR: Himpunan Tangkap Malaysian Official 1 (MO1) anjuran mahasiswa bermula perlahan dengan kira-kira 550 peserta berkumpul di dua lokasi sejak 2 petang tadi.

Di luar pusat beli-belah Sogo, kira-kira 350 orang berkumpul dengan beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO). Keadaan lalu lintas di Jalan Tuanku Abdul Rahman juga masih terkawal.

Manakala hanya 200 peserta berkumpul di Masjid Negara bersama beberapa pemimpin pembangkang, termasuk Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Ketua Pemuda Amanah, Sani Hamzah dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad.

Mereka kemudiannya mula bergerak menuju titik pertemuan ke Dataran Merdeka sambil membawa poster, replika sel penjara, melaungkan slogan dan bernyanyi.

Ketika berarak, peserta turut mengucapkan terima kasih kepada anggota polis yang bertugas mengawal keadaan di sepanjang laluan.

Jurucakap himpunan #TangkapMO1, Anis Syafiqah Md Yusof yang menjangkakan 5,000 orang akan hadir hari ini, turut berkumpul di pusat beli-belah Sogo sebelum berarak dengan peserta.

“Untuk pengetahuan semua, perhimpunan aman hari ini dikawal selia Dapsy (Pemuda Sosialis DAP) dan Amanah,” katanya.

Himpunan #TangkapMO1 bertujuan mendesak pihak berkuasa mengenal pasti dan mendakwa individu dirujuk sebagai MO1 dalam tuntutan saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) bagi merampas aset “terbabit dalam atau boleh dikesan kepada suatu pakatan antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB”.

MO1 yang tidak dinamakan dalam saman itu didakwa mempunyai jawatan penting dalam 1MDB dan mempunyai ikatan kekeluargaan dengan anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz – seorang daripada individu yang dinamakan secara langsung dalam tuntutan DoJ.

Walaupun DoJ tidak menyebut nama MO1 dalam saman sivilnya, ramai pihak mula menuding jari ke arah Najib, khasnya pemimpin pembangkang.

Sementara itu, Khalid berkata, jika berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan, golongan mahasiswa perlu hadir ke perhimpunan itu kerana mereka bakal pewaris negara.

“Pergerakan mahasiswa menunjukkan kemarahan yang dirasai mereka dan orang ramai ke arah skandal 1MDB yang menyebabkan negara kehilangan berbilion ringgit,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam itu turut mempersoalkan peguam negara yang menurutnya belum mengambil sebarang tindakan susulan saman difailkan DoJ.

“Kenapa sehingga hari ini peguam negara masih tidak bertindak? Duit itu duit rakyat, kenapa tidak pergi AS? Bagaimana duit itu boleh dikembalikan kepada negara?

“Kerajaan nak bayar pencen pun sudah tiada duit. Kalau kerajaan tiada duit, macam mana nasib penjawat awam? PTPTN pun dah tidak mampu (pinjam wang kepada pelajar),” katanya.

Sementara itu, Tian Chua berkata, himpunan ini adalah langkah pertama untuk menyelamatkan masa depan negara.

Beliau turut menggesa Najib menyerah diri kepada polis petang ini.

“Saya rasa hari ini ramai di kalangan kita, termasuk polis tahu sehingga MO1 ditangkap, negara kita tidak akan selamat,” kata ahli Parlimen Batu itu.

Dalam pada itu, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said bangga dapat menjadi “datuk” kerana berpeluang melihat mahasiswa berjuang demi hak rakyat.

Pada 19 Ogos lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihatkan penganjur himpunan ini mencari kawasan lain, selepas pemilik Dataran Merdeka, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) enggan meluluskan permohonan mereka.

Pihak penganjur bagaimanapun bertegas akan bergerak dari dua lokasi dan berhimpun di Dataran Merdeka.

Penganjur #TangkapMO1 tetap mahukan Dataran Merdeka

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.