PSM desak kerajaan bantu tubuh tabung pemberhentian kerja

PSM desak kerajaan bantu tubuh tabung pemberhentian kerja

Tabung Pemberhentian Kerja yang ditubuhkan PSM sejak Julai 2016 kini menerima lebih 5,000 aduan daripada individu yang tidak dibayar gaji serta majikan tidak membuat potongan KWSP.

psm_wallet1
RAWANG:
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak kerajaan membantu mewujudkan tabung pemberhentian pekerja khas untuk pekerja yang tidak dapat gaji apabila syarikat bankrap.

Ketua Unit PSM Rawang Mohd Mazwan Mansor berkata tabung itu perlu dimulakan dengan bantuan kerajaan dan seterusnya menerusi sumbangan bulanan oleh majikan dan pekerja.

“Kami juga menuntut bayaran dibuat dalam masa 30 hari selepas tarikh pemberhentian kerja dan tabung ini harus dikendalikan oleh Perkeso,” katanya ketika ditemui FMT di sini, hari ini.

Beliau berkata statistik menunjukkan jumlah pekerja diberhentikan pada 2014 ialah 25,917 manakala jumlahnya bertambah kepada 38,499 pada 2015.

“Sekiranya penubuhan tabung ini berjaya dilaksanakan, Malaysia akan jadi negara ke-9 menerima bantuan kerajaan dalam menerima sumbangan terhadap individu yang dibuang kerja atas alasan syarikat bankrap,” katanya.

Katanya, PSM yang menubuhkan Tabung Pemberhentian Kerja sejak Julai 2016 kini menerima lebih 5,000 aduan daripada individu yang tidak dibayar gaji serta majikan tidak membuat potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata PSM kini meneruskan jelajah dalam mendesak kerajaan menubuhkan tabung pemberhentian kerja khas bagi pekerja yang tidak dibayar gaji atau sebarang ganti rugi selepas syarikat ditutup itu.

“Sesi jelajah ini bermula 4 Ogos lalu dan ini merupakan zon kelima yang kami singgah termasuk Zon Serdang, Banting, Sungai Buloh, Selayang dan Rawang merupakan zon terakhir sebelum ke Perak.

“Kami juga berharap Pusat Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dapat memberi kerjasama dalam memberi latihan semula kepada pekerja yang diberhentikan,”katanya.

Merasakan kemungkinan pekerja mendapat ganti rugi amat tipis, Mazwan turut menggesa kerajaan mengarahkan bank swasta menangguhkan bayaran pinjaman rumah pekerja sekurang-kurangnya 6 bulan diikuti dengan penjadualan semula bayaran ansuran pinjaman.

“Bayaran elaun sara hidup bulanan sebanyak 80% daripada gaji terakhir pekerja setiap bulan sekurang-kurangnya 6 bulan selepas tamat tempoh gaji yang dapat dibiayai ganti rugi diberhentikan jika pekerja belum mendapat kerja baharu,” katanya.

PSM juga mendakwa satu pertiga daripada jumlah pekerja yang diberhentikan tidak mendapat sebarang pampasan mahupun gaji atas alasan majikan bankrap dan hilang begitu saja.

“Setakat ini kami terima maklumat, jumlah wang pampasan tidak dibayar sekitar RM397 juta. Ini satu perkara yang amat serius dan kami menggesa kerajaan mengambil tindakan segera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.