Ku Nan: Anina batal saman kerana tahu akan kalah

Ku Nan: Anina batal saman kerana tahu akan kalah

Anina jawab saman dibuat kerana sayangkan Umno tetapi tidak perlu lagi memandangkan beliau kini ahli Bersatu

kuna21241
KUALA LUMPUR:
Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor tahu mengapa Anina Saadudin menarik balik semua saman yang dibuatnya selaku ahli Umno tahun lalu.

“Anina tahu tak boleh menang, jadi dia tarik balik saman yang dibuat terhadap saya dan perdana menteri,”

Diminta mengulas lebih lanjut, Tengku Adnan sekadar menjawab: “Terpulang pada dia, dia yang buat saman itu.”

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan ukiran watak kartun ciptaan Mohammad Nor Khalid (Lat), yang didirikan di beberapa tempat di pusat bandar ibu negara.

Anina semalam mengumumkan keputusan untuk membatalkan saman yang dibuat terhadap Najib. Beliau mahu baki derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Razak dipulang kepada Umno.

Beliau juga mengugurkan saman yang dibuat terhadap Tengku Adnan dan Setiausaha Eksekutif Umno Ab Rauf Yusof berkenaan pemecatannya daripada Umno.

Anina, ketika dihubungi berkata, beliau kecewa kerana mengambil keputusan itu, tetapi melihat tidak lagi perlu meneruskan saman itu kerana kini bersama parti politik baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya buat saman itu ketika saya bersama Umno, tetapi tak lagi relevan kerana saya sekarang ini menganggotai jawatankuasa penaja Bersatu.

“Mengapa saya mahu Najib pulangkan baki RM2.6 bilion kepada Umno sedangkan saya bersama Bersatu?

“Biar ahli Umno yang perjuangkan hak mereka keatas wang yang dicuri presiden mereka.”

“Jika saya tak yakin menang, mengapa pula saya bawa kes ke Mahkamah Persekutuan? Bukankah lebih baik saya berhenti setakat Mahkamah Tinggi jika saya rasa saya akan kalah.”

Beliau menasihatkan Tengku Adnan supaya tidak cuba membaca fikirannya dan tumpukan kepada seruan pengisytiharaan harta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.