
Mengumumkan perkara itu di sini Rabu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa rakyat agar tidak memandang remeh ancaman itu yang datang dari dalam dan luar negara.
“Atas kepedulian kerajaan terhadap ancaman kepada pertahanan dan keselamatan negara ini maka kerajaan telah menetapkan bahawa tugas memimpin MKN diserah kepada pegawai polis atau tentera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Makan Malam Timbalan Perdana Menteri bersama pegawai dan kakitangan Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi-agensi kerajaan yang beroperasi di New York di pejabat perwakilan itu di sini.
Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata anggota MKN juga akan dilantik daripada kalangan pegawai polis dan tentera yang berpengalaman dalam setiap sudut pertahanan dan keselamatan negara.
Lazimnya, MKN diketuai seorang setiausaha yang terdiri daripada pegawai sivil dan Zulkifeli menjadi pegawai tentera pertama yang dilantik ke jawatan itu.
Difahamkan pelantikan Zulkifeli berkuat kuasa 15 Ogos lepas.
Zahid berkata tindakan itu bertujuan memperkukuh MKN agar menyerupai National Security Council (NSC) (Majlis Keselamatan Negara) di Amerika Syarikat.
Katanya, dasar pertahanan dan keselamatan negara dipersiap dengan menggabungkan sinergi percantuman pelaksanaan tugas antara pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau seterusnya meminta rakyat supaya memandang positif perkara itu dan tidak meremehkan ancaman keselamatan dan pertahanan itu kepada negara.
Katanya, dalam politik rakyat boleh berbeza pendapat tetapi dalam aspek keselamatan dan pertahanan negara, kedua-dua pihak harus bersatu.
Beliau juga mengingatkan rakyat supaya jangan menganggap insiden keganasan seperti yang berlaku di luar negara itu tidak boleh berlaku di dalam negara.
“Soalnya bila dan di mana ia akan berlaku?” katanya.
Zahid turut mendedahkan kewujudan kumpulan pengganas yang menggelar kumpulan mereka sebagai ‘Khalifah Nusantara’ yang kononnya hendak menegakkan empayar Islam di Nusantara dan anggotanya aktif di Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Zahid berkata kumpulan Khalifah Nusantara itu sedang bergerak aktif melakukan keganasan termasuk melakukan pengeboman di kelab malam Movida di Puchong pada 28 Jun lalu, yang dikatakan serangan pertama dilakukan Daesh di Malaysia.
Beliau berkata rakyat perlu berwaspada mengenai kemungkinan bila serangan kedua akan berlaku dan tidak seharusnya menyerahkan tugas dan tanggungjawab mencegah kejadian seumpama itu daripada berlaku kepada PDRM dan tentera semata-mata.
“Ada orang tertentu yang suka menyalahkan pasukan keselamatan dan pertahanan apabila berlaku sesuatu kejadian keganasan sedangkan di negara lain rakyatnya menyokong polis dan tentera,” katanya.
Katanya, tugas pertahanan dan keselamatan tidak seharusnya diletakkan kepada pasukan polis dan tentera semata-mata tetapi hendaklah mengambil pendekatan ‘Hanruh’ atau pertahanan menyeluruh yang melibatkan masyarakat dan orang ramai.
Sehubungan itu, pada 16 Ogos lepas dilancarkan satu pasukan sukarelawan yang dinamakan ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP) yang membantu menyalurkan maklumat mengenai kejadian jenayah kepada satu pusat kawalan (command centre) untuk mengambil tindakan lanjut.
Katanya, tindakan itu dapat mengurangkan pergantungan kepada sistem pengawasan melalui kamera litar tertutup (CCTV) bagi mencegah jenayah di kawasan-kawasan ‘hotspot’.
Zahid berkata pendekatan itu memobilisasikan pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Pasukan Pertahanan Awam, Kepolisan Masyarat dan Rakan Cop yang akan melibatkan lima juta peserta dengan penyertaan pertama seramai 5,000 orang.
Pasukan yang menjadi ‘mata dan telinga’ pasukan keselamatan itu akan menggunakan telefon bimbit untuk menyalurkan maklumat tepat masa kepada pusat kawalan.
Beliau menyeru orang ramai supaya mendaftar diri menyertai pasukan itu bagi membantu tugas polis dan tentera dan tidak sambil lewa terhadap isu keselamatan dan pertahanan.
Zahid berada di negara ini untuk lawatan kerja 5 hari bermula 22 hingga 26 Ogos termasuk mempengerusikan perbahasan terbuka peringkat tinggi Majlis Keselamatan PBB mengenai senjata pemusnah besar-besaran pada Selasa.
Turut hadir pada majlis jamuan itu ialah isteri Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Ramlan Ibrahim.
Pautan: