Polis paksa wanita buka bikini tutup aurat di Nice

Polis paksa wanita buka bikini tutup aurat di Nice

Wanita yang sedang berehat di sebuah pantai di bandar Promenade des Anglais itu didatangi sekurang-kurangnya empat anggota polis yang memaksanya membuka burkini dipakainya, sebelum dikenakan denda.

pilos-france
PARIS:
Seorang wanita diarahkan membuka burkini dipakainya di sebuah pantai di Nice, susulan larangan memakai bikini menutup aurat yang dilaksanakan 15 bandar di Perancis setakat ini.

The Guardian melaporkan, ketika kejadian, wanita yang sedang berehat di sebuah pantai di bandar Promenade des Anglais itu didatangi sekurang-kurangnya empat anggota polis yang memaksanya membuka burkini dipakainya.

Wanita itu akhirnya terpaksa akur kepada arahan mereka, manakala seorang lagi anggota polis dilihat membuat catatan atau mengeluarkan denda kepadanya serta-merta.

Gambar-gambar kejadian itu muncul ketika seorang ibu beranak dua pada Selasa menceritakan pengalaman beliau didenda di sebuah pantai berhampiran Cannes kerana memakai legging, tunik dan tudung.

Saman yang ditunjukkan kepada agensi berita AFP menyatakan beliau tidak memakai “pakaian yang menjunjung akhlak baik dan sekularisme”.

“Saya sedang duduk di sebuah pantai bersama keluarga saya,” kata wanita berusia 34 tahun yang hanya memberi nama pertamanya, Siam.

“Saya memakai tudung klasik. Saya tidak berhasrat berenang.”

Seorang saksi kejadian itu, Mathilde Cousin mengesahkan insiden itu.

“Perkara paling sedih ialah orang ramai jerit menyuruhnya ‘balik rumah’, ada pula yang memberi tepukan kepada polis,” katanya sambil menambah, anak perempuan mangsa turut menangis.

Minggu lalu, Nice menjadi bandar terbaharu melaksanakan larangan memakai burkini yang “secara terang-terangan menunjukkan pematuhan kepada agama ketika Perancis dan tempat ibadat yang menjadi sasaran serangan pengganas”.

Larangan di Nice merujuk secara khusus kepada serangan lori di Promenade des Anglais pada 14 Julai lalu, sempena sambutan Hari Bastille yang meragut 86 nyawa, selain pembunuhan seorang paderi Katolik berhampiran Rouen, 12 hari kemudian.

PAUTAN:

Perancis tahan 10 wanita pakai bikini ‘tutup aurat’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.