Seribu dalih, kata Ideas selepas Ku Nan enggan dedah kekayaan

Seribu dalih, kata Ideas selepas Ku Nan enggan dedah kekayaan

Penjawat awam di negara lain yang mempunyai tahap keselamatan lebih buruk tidak pernah memberikan alasan takut dirompak untuk mengelak pengisytiharan harta.

Wan-Saiful-Wan-Jan_Tengku-Adnan_600
KUALA LUMPUR:
Sekiranya pegawai atasan di negara lain yang berdepan masalah keselamatan lebih meruncing boleh mengisytiharkan harta mereka, tidak ada sebab mengapa Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor tidak boleh berbuat perkara sama, kata sebuah badan pemikir.

Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) berkata pengisytiharan harta kepada orang ramai merupakan tanggungjawab penjawat awam.

“Sejak pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, rakyat menuntut deklarasi aset secara terbuka tetapi pegawai dan ahli politik daripada kerajaan mahupun pembangkang masih cuba mengelak isu itu.

“Bak kata pepatah, ‘hendak seribu daya tak hendak seribu dalih’,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ideas, Wan Saiful Wan Jan.

Sebelum ini, Tengku Adnan, atau Ku Nan, menolak gesaan beliau mengisytihar kekayaan peribadinya kepada umum kerana bimbang menjadi mangsa rompakan.

“Saya tidak akan isytihar kepada orang ramai kerana saya dahulu adalah seorang ahli perniagaan. Saya ada banyak aset.

“Saya tidak akan isytihar apa yang saya ada, kerana jika saya berbuat demikian, saya bimbang anak-anak atau isteri saya mungkin diculik. Semua benda boleh berlaku. Perompak boleh sasarkan kami,” katanya.

Beliau digesa PKR menunjukkan teladan dengan mengisytiharkan harta selepas arahan beliau supaya jabatan di bawah kementeriannya meneliti semula pengisytiharan harta pegawai, susulan penangkapan seorang pegawai tinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atas kesalahan rasuah.

Wan Saiful berkata alasan kebimbangan keselamatan tidak boleh diterima.

“Jika dilihat negara jiran Indonesia, sudah beberapa tahun amalan deklarasi aset dilakukan. Jarang kita dengar penjawat awam melahirkan kebimbangan diculik atau dirompak sebagai alasan tidak berbuat demikian,” katanya.

Wan Saiful berkata kenyataan Tengku Adnan juga menghina kebolehan polis mengawal jenayah.

“Berikan mereka penghormatan dan kepercayaan. Jangan jadikan mereka alasan bagi menyembunyikan maklumat daripada umum,” tambahnya.

Katanya, amalan pegawai mengisytiharkan harta mereka hanya kepada perdana menteri atau ketua menteri tidak memenuhi piawai antarabangsa.

Wan Saiful sebaliknya memuji langkah Selangor mewajibkan ahli Dewan Undangan Negeri membuat pengisytiharan harta secara terbuka.

Pautan:

Ku Nan, jangan masuk politik kalau takut isytihar harta

Ku Nan: Keluarga saya mungkin diculik, jika isytihar harta

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.