
Itu antara kandungan dimuat naik Namewee ke Facebooknya pada jam 1.06 tengah hari semalam, selepas mahkamah mengeluarkan perintah reman empat hari bagi membolehkan polis menyoal Namewee di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Menurut sumber yang dipetik China Press, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee berpeluang mengemas kini status di Facebooknya kerana polis tidak merampas telefon bimbitnya.
“Ramai tanya kenapa saya begitu bodoh, kalau sembunyi di luar negara dan tidak balik, saya tidak akan ditahan. Alasannya mudah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pertikaian antara agama sering berlaku, khasnya di Malaysia yang menimbulkan banyak salah faham.
“Kandungan lagu ‘Oh My God’ yang saya hasilkan bertujuan menggalakkan keharmonian agama, berniat baik dan matlamatnya jelas. Saya tidak bersalah, kenapa perlu lari? Lagipun sini ialah rumah dan tanah air saya.
“Berani buat, berani tanggung. Tolong jangan ganggu keluarga saya,” demikian status terbaharu di Facebooknya yang mendapat sokongan ramai peminat dan warga maya.
Penyanyi rap kontroversi itu ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan klip video dirakam di sebuah masjid di Tanjung Bungah, Pulau Pinang, yang didakwa menghina Islam.
Namewee ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari luar negara pada jam 3.30 petang Ahad lalu.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya.