3 beranak warga Singapura dituduh hina pegawai imigresen Malaysia

3 beranak warga Singapura dituduh hina pegawai imigresen Malaysia

Semua tertuduh didakwa mencaci dan menghalang pegawai terbabit melakukan pemeriksaan terhadap kereta mereka ketika di zon kenderaan di kompleks imigresen menuju ke Singapura.

caci-maki
PONTIAN:
Mahkamah khas di Depot Imigresen Pekan Nanas, di sini hari ini mendakwa seorang ibu tunggal dan dua anak remajanya, semua warga Singapura kerana menghalang tugas pegawai Jabatan Imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar.

Pekerja bebas Quek Chin Fern, 42, anak lelakinya Miguel Lim, 19 dan anak perempuannya Cheryl Isabella Lim, 18, didakwa melakukan kesalahan itu di laluan keluar kenderaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar kira-kira jam 3.30 petang pada 12 Ogos.

Ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 56(1)(g) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 56(1)(aa) akta sama, menurut The Star.

Mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Salawati Djambari.

Akhbar itu melaporkan, jika didapati bersalah setiap tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau maksimum 5 tahun penjara.

Salawati kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia bagi setiap tertuduh. Sebutan kes ditetapkan pada 5 September.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa imigresen A. Vikneswaran sementara tertuduh diwakili peguam Goh Sze Han.

Dalam laporan sebelum ini, tiga beranak itu ditahan selepas mereka enggan menurunkan tingkap belakang kereta yang dipasang cermin gelap berwarna ketika pemeriksaan di zon kenderaan di CIQ Sultan Iskandar menuju ke Singapura.

Mereka juga didakwa mencaci dan membuat tuduhan kepada pegawai imigresen yang mahu memeriksa kereta itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.