Johor tidak akan lupakan jasa Muhyiddin

Johor tidak akan lupakan jasa Muhyiddin

Ini kerana Umno Johor mengamalkan politik yang matang dan berpendirian justeru akan terus mendoakan semua orang yang pernah berbuat baik dan berjasa pada parti itu.

khaled-nordin
KUALA LUMPUR:
Umno Johor tidak akan melupakan jasa Tan Sri Muhyiddin Yassin di sebalik apa yang berlaku di antara beliau dan Umno.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin berkata ini kerana Umno Johor mengamalkan politik yang matang dan berpendirian justeru akan terus mendoakan semua orang yang pernah berbuat baik dan berjasa pada parti itu.

“Kita pasti akan mengenangnya. Kita tidak akan melupakan sahabat.

“Lebih penting, kita tidak akan sesekali membakar segala jambatan persaudaran dan tali persahabatan antara kita, hanya kerana khilaf politik,” katanya dalam satu kenyataan, di Facebooknya.

“Kita mesti terbuka dan menerima hakikat bahawa Tan Sri Muhyiddin telah memilih jalan berlainan. Beliau memilih haluan sendiri. Haluan yang lebih selesa dan sesuai dengan pendirian dan prinsip beliau,” ujarnya.

Ketua Badan Perhubungan UMNO Johor akui, beliau sendiri merasa janggal sewaktu berkunjung ke Pagoh tanpa kehadiran dan kelibat Muhyiddin.

Mengenang lawatannya ke Pagoh pada setiap Hari Raya kedua bersama Tan Sri Muhyiddin dan orang Pagoh, Mohamed Khalid menyatakan betapa nama itu terlalu sinonim dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Muhyiddin pernah menjadi menteri besar Johor sebelum dibawa ke Pusat dan dilantik sebagai presiden Umno dan timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun akibat perselisihan pendapat dengan puncuk pimpinan tertinggi parti dan penyokongnya berhubung isu 1MDB, Muhyiddin disingkirkan dari kabinet sebelum dipecat dari Umno.

Beliau kini menjadi presiden penaja sebuah pertubuhan baharu, Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang sedang menunggu kelulusan pendaftar pertubuhan untuk beroperasi secara rasmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.