
Jika dahulunya, anak muda tertumpu ke Starbucks dan Coffee Beans untuk melepak dan bersembang, kini pelbagai kafe moden jenama tempatan, atau lebih dikenali sebagai “kafe hipster”, mula menarik perhatian golongan generasi ‘Y’.
Di Amerika Syarikat, perkataan “hipster” mewakili budaya yang cuba ditonjolkan golongan kelas atasan di kejiranan tertentu, kebanyakannya oleh masyarakat kulit putih, daripada pilihan muzik, makanan dan pakaian sehinggalah pendirian politik.
Di Malaysia, ia lebih ditonjolkan oleh golongan berada Melayu, dan mula mendapat perhatian sekitar pasca 2010.
Hipster boleh jadi apa sahaja asalkan ia ada elemen “cool”, tidak berada di dalam kehidupan majoriti masyarakat.
Jika anda seorang hipster, anda cuba menentang fesyen dan cara arus perdana masa yang diikuti masyarakat.
Anda cuba ada kegemaran sendiri yang unik. Janji ia bukan pilihan “orang biasa”.
Kafe hipster
Baru-baru ini, FMT meninjau salah satu daripada budaya yang diserlahkan hispter – kafe, yang walaupun mahal, sering dikunjungi anak muda.
Mungkin juga pepatah Melayu “Biar papa, asalkan bergaya” sesuai disebut dalam perbincangan mengenai budaya yang kian menjadi kegilaan segolongan kecil orang muda ini.
Mereka memilih ke kafe hipster disebabkan dekorasi kedai hipster yang berkonsepkan Inggeris, bukan suasana kedai kopi lama.
“Dekorasi ‘simple’ tak perlu sarat dengan banyak meja membuatkan kita selesa. Kalau kita melancong ke Eropah contohnya, ada banyak kafe sebegini.
“Jadi apabila banyak dibuka di negara sendiri, ia beri kita peluang untuk cuba sendiri,” kata Alina Efendi salah seorang pengunjung kedai hipster yang ditemui FMT baru-baru ini.
Ramai golongan hispter menjadikan media sosial seperti Instagram pilihan mereka untuk memuat naik gambar mereka.
Gambar yang diambil oleh golongan hipster ingin menampilkan kelainan daripada biasa. Disebabkan itu kafe hipster biasanya ramai dikunjungi golongan ini disebabkan keunikan yang dimiliki seperti makanan dan dekorasi yang ditampilkan.
Melayu dan hipster
Kenapa orang Melayu lebih ramai ke kafe hispter?
Berdasarkan pemerhatian FMT di beberapa kafe hipster di sekitar lembah Klang, kebanyakan budaya hipster ini lebih dikunjungi orang Melayu berbanding bangsa lain.
Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff berpandangan ini mungkin pengaruh sosial golongan pertengahan daripada golongan atasan.
“Kebanyakan golongan mereka ini dari kalangan orang sederhana dan sesetengah mereka berkawan dengan orang atasan (kaya). Tempat seperti kafe hipster misalnya, menjadikan tempat untuk mereka mengadakan pertemuan dan keselesaan untuk mereka bersembang dan bergaya.
“Bagi saya tempat-tempat hispter ini dekat di hati orang Melayu,” katanya kepada FMT.
Bagi Dr Agus, tidak salah sekiranya anak muda masa ini suka dengan budaya hispter.
“Bagi saya budaya ini lagi sihat daripada mereka melakukan aktiviti liar seperti merempit dan sebagainya,” katanya.
https://youtu.be/zWqTUmNcBj8