
Exco Selangor yang bertanggungjawab ke atas hal-ehwal perumahan Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, bukan semua PPR yang diserahkan kepada kerajaan negeri berada dalam keadaan sempurna dan pihaknya membelanjakan wang yang banyak bagi membaik pulih projek itu.
“Kami bersedia menyerahkan semula (PPR) tapi bagi balik wang dibelanjakan untuk baik pulih. Kami membelanjakan RM8 juta, bagi balik RM8 juta kami itu, kami akan serahkan semula,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis jamuan Aidilfitri bersama penjawat awam dan Kontinjen Sukma Selangor di Dataran Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.
Iskandar mengulas kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, yang dilapor berkata pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada kerajaan Selangor bagi memohon mengambil alih pengurusan dan penyelenggaran bangunan PPR di negeri itu.
Noh berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada transformasi serta pendekatan baharu kementerian dalam pengurusan PPR selepas melihat kegagalan kerajaan negeri dalam menguruskan PPR di Lembah Subang 1.
Iskandar berkata sewa yang dikutip daripada penghuni PPR juga tidak mencukupi untuk menampung kos membaik pulih dan mengurus PPR dan sebanyak RM3 juta dibelanjakan pada 2012 bagi membaiki lif dan pam air di kesemua PPR.