KDEB Selangor diberi 3 bulan selesai isu sampah

KDEB Selangor diberi 3 bulan selesai isu sampah

Jika syarikat lantikan kerajaan negeri itu gagal menyelesaikan isu sampah, majlis daerah mempunyai kuasa menamatkan kontrak perjanjian.

Datuk-Mohamad-Yasid-Bidin
PETALING JAYA:
Syarikat KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEB) diberi tempoh tiga bulan untuk menyelesaikan masalah sampah menerusi perlaksanaan aplikasi iClean Selangor yang mula diperkenalkan pada 1 Julai lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata pihaknya mempunyai kuasa untuk menamatkan kontrak perjanjian sekiranya syarikat tersebut gagal menguruskan pungutan sisa pepejal.

Katanya, sehingga kini beliau masih berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan KDEB yang dilantik kerajaan negeri Selangor walaupun baru sebulan memulakan operasi.

“Setakat ini saya tidak boleh membuat penilaian penuh memandangkan syarikat itu baru saja mengambil alih menguruskan pungutan sampah (di kawasan Klang).

“Dalam kontrak perjanjian kita bagi tiga bulan, setakat ini positif memandangkan kurangnya aduan daripada penduduk berhubung kelewatan syarikat terbabit melakukan pungutan (sisa pepejal),” katanya ketika dihubungi FMT.

Kerajaan negeri melantik syarikat itu untuk menguruskan pungutan sisa pepejal dengan menggunakan pendekatan aplikasi iClean Selangor.

Bagaimanapun, aplikasi yang dimuat turun menggunakan Android Play Store itu hanya boleh diguna pakai penduduk di kawasan Klang untuk membuat aduan secara terus melalui telefon pintar jika terdapat sampah yang tidak dikutip.

Pendekatan sama akan dilanjutkan ke kawasan lain secara berperingkat pada masa akan datang.

Yasid berkata MPK memperuntukkan RM25 juta setahun kepada KDEB untuk menguruskan pungutan sisa pepejal di kawasan Klang.

“Bila KDEB mengambil alih (tugas pungutan sisa pepejal) ia dapat mengurangkan beban kerja majlis daerah kerana tidak perlu lagi mencari atau membuka tender kepada syarikat swasta menguruskan pungutan sampah.

“Sebaliknya KDEB yang menguruskan semua itu dan tugas majlis daerah hanya membayar mereka setiap tahun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.