
Dalam surat dialamatkan kepada Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri akan menghantar kajian terowong dasar laut itu pada hujung tahun ini atau awal tahun depan, selepas ia lengkap.
Terowong dasar laut itu mempunyai laluan yang sama seperti dicadangkan untuk jambatan ketiga iaitu antara George Town dan Butterworth.
Guan Eng berkata kajian itu pada masa ini sudah siap 83%.
“Kerajaan negeri tidak faham logik anda untuk meminta kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut kerana ia tidak berakit dengan jambatan ketiga.
“Apa yang kerajaan negeri minta ialah kelulusan untuk jambatan ketiga bukan terowong dasar laut,” tulisnya.
“Oleh itu, kami berharap permohonan kami mengenai cadangan membina jambatan ketiga diluluskan secara prinsipal,” katanya, menambah ia akan membolehkan kerajaan negeri mengambil langkah perlu terhadap merealisasikan projek itu.
Surat Guan Eng itu susulan pengumuman Fadillah pada 25 Julai yang kementerian akan menangguhkan dulu permohonan kerajaan negeri untuk membina jambatan ketiga bebas tol kerana dokumen tidak diserahkan kepada kementerian.
Kementerian katanya menghantar empat surat peringatan untuk beruat demikian. Fadillah berkata kerajaan negeri juga gagal mematuhi tarikh akhir 22 Julai yang ditetapkan.
Guan Eng mula membangkitkan idea untuk membina jambatan baharu Pulau Pinang selepas kritikan terhadap projek terowong dasar laut negeri, termasuk kos kajian kebolehlaksanaannya.
Beliau kemudian menulis surat memohon kelulusan membina jambatan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 26 Mei.
Guan Eng dikritik kerana membawa perkara itu secara tidak profesional kerana melangkau kementerian, Fadillah kemudian berkata kelulusan tidak boleh diberikan hanya berdasarkan kepada sepucuk surat.
Fadillah berkata ia bukan amalan standard kerajaan persekutuan untuk meluluskan projek multi bilion ringgit “tanpa sebarang dokumen”.
Beliau juga meminta kajian kebolehlaksanaan dan butiran rekaan projek terowong dasar laut itu dan jalan raya berkaitan dalam diserahkan dalam proses permohonan jambatan ketiga berkenaan.
Pada masa ini kerajaan negeri mempunyai dua jaringan antara pulau dan tanah besar – Jambatan Pulau Pinang yang pertama dibuka pada 1985 dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (sebelum ini dinamakan Jambatan Pulau Pinang Kedua) yang dibuat pada 2014.