Santiago gesa Putrajaya tangani masalah bekalan makanan

Santiago gesa Putrajaya tangani masalah bekalan makanan

Santiago bagaimanapun akui masalah kekurangan makanan bukan terhad pada waktu perayaan dan kesannya bukan hanya terhad kepada masyarakat tertentu sahaja.

santiago-1
PETALING JAYA: Putrajaya digesa menangani masalah kekurangan bekalan makanan di negara ini dengan menjadikan pertanian lebih mampan dan menguntungkan khususnya kepada petani berskala kecil.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dalam satu temubual dengan FMT berkata, pendakwah kontroversi Ridhuan Tee Abdullah tampil dengan persoalan yang munasabah tentang bekalan makanan di negara menerusi kolum mingguannya dalam ahkbar Sinar Harian semalam.

Santiago bagaimanapun akui masalah kekurangan makanan bukan terhad pada waktu perayaan dan kesannya bukan hanya terhad kepada masyarakat tertentu sahaja.

“Sikap ‘racist’ Tee menjejaskan keupayaannya untuk menjelaskan isu ini dari perspektif struktur.

“Kekurangan makanan wujud pada setiap masa, secara menyeluruh ekoran dasar-dasar kerajaan yang berpihak kepada perindustrian atau tanaman tunai, kesannya ia kini kembali menghantui kita,” katanya.

Beliau berkata, rangkaian bekalan makanan tidak lagi dikawal oleh petani Malaysia, mereka tidak mempunyai kawalan ke atas kos dan ia antara sebab makanan menjadi mahal.

Jelasnya, rantaian bekalan makanan termasuk kos racun perosak yang tinggi, racun rumpai dan baja yang dikawal oleh syarikat-syarikat multinasional serta kos peralatan yang diimport, jentera dan buruh asing.

Perkara-perkara lain yang merumitkan isu ini adalah cuaca yang berubah-ubah dan tidak menentu yang sekali gus membawa kepada kekurangan makanan, katanya.

Ahli parlimen DAP mahu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dirombak supaya setiap ringgit yang dibelanjakan oleh mereka dibuktikan berbaloi.

“Lebih penting, mereka perlu membuat pelaksanaan yang mampan dan menguntungkan pengeluar kecil bagi meningkatkan produktiviti.”

Ini katanya, boleh dilakukan melalui subsidi, insentif dan pembinaan keupayaan dalam teknologi baharu serta dengan memastikan petani kecil mempunyai akses kepada teknologi-teknologi ini.

Selain itu, beliau mencadangkan agar bajet persekutuan Putrajaya memberi keutamaan kepada pengeluaran makanan dan bekalan makanan.

“Kira-kira 50.1% nelayan hidup dalam kemiskinan tetapi apa yang menjadikan orang lain untuk terus memilih menjadi nelayan? Bagaimana mereka hidup di atas rantaian bekalan ini? Perkara-perkara seperti inilah yang perlu ditangani oleh kerajaan,” ujarnya.

Semalam, Tee dalam kolum mingguannya di Sinar Harian mengetengah isu pertanian di Malaysia yang bertentangan dengan nikmat negara yang diberkati dengan tanah yang subur dan pelaburan berjuta-juta ringgit dalam industri itu.

Tee mempersoal bagaimana Malaysia masih bergantung kepada makanan import sedangkan berpotensi menjadi pengeksport produk pertanian.

Beliau mengulas kekurangan daging lembu dan ayam, serta kenaikan harga makanan semasa Hari Raya Puasa.

Katanya, sebagai seorang Islam, beliau malu apabila Malaysia lebih dikenali sebagai pengeksport daging babi meskipun permintaan yang lebih rendah bagi daging itu berbanding dengan daging lembu, kambing dan ayam.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.