
Timbalan Pengarah program unit penghantaran Smart Selangor, Dr Fahmi Ngah berkata syarikat Waste Management KDEB Sdn Bhd yang dilantik menguruskan pungutan sisa pepejal menerima 850 aduan dan kesemuanya sudah diselesaikan.
Bagaimanapun, aplikasi yang dimuat turun menggunakan Android Play Store hanya boleh digunapakai oleh penduduk di kawasan Klang dan akan dilanjutkan ke kawasan-kawasan lain secara berperingkat pada masa akan datang.
“Syarikat KDEB mengambil alih perkhidmatan pungutan sisa pepejal sejak 1 Julai dan aplikasi (iClean Selangor) mula disediakan sejak 28 Julai. Sehingga hari ini, kita menerima 850 aduan dan semuanya sudah diselesaikan.
“Penduduk berpuas hati dengan perlaksanakan aplikasi ini lebih-lebih lagi setiap aduan diselesaikan dengan pantas iaitu dalam jangka masa empat hari termasuk hari membuat aduan,” kata Dr. Fahmi Ngah yang mengakui setiap aduan dikemas kini dengan maklum balas.
Dalam temubual dengan FMT, beliau memberitahu aplikasi ini memberi ruang kepada pengguna membuat aduan lokasi sampah tidak dikutip menggunakan telefon pintar.
“Hanya rakam naik gambar foto sampah yang tidak dikutip dan aduan itu akan dikemukakan kepada pusat kawalan syarikat KDEB yang dilantik oleh kerajaan untuk menyelesaikan kes.
Sebaik aduan diterima, laporan itu akan diperiksa dan diselesaikan paling lama empat hari.
“Kami meletakkan tempoh empat hari sebagai KPI memandangkan syarikat masih kekurangan kemudahan pengangkutan. Semua lori yang diperuntukkan untuk iClean Selangor akan siap menjelang pertengahan Ogos selepas itu, tempoh aduan itu dapat dikurangkan tidak sampai empat hari,” janji beliau.
Dalam pada itu, Fahmi juga menafikan dakwaan perlaksanan iClean Selangor oleh KDEB menganggu tugas majlis daerah.
“Kita bukan nak rampas kuasa atau tugas mana-mana majlis daerah tetapi bekerjasama dengan pihak tersebut. Malah, mereka juga memberi maklum balas positif kerana perkhidmatan memudahkan tugas majlis daerah,” katanya.