
Dia juga memohon pengisytiharan Perkara 66 (4) dan 66 4(A) yang membenarkan penguatkuasaan undang-undang itu tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak sah serta terbatal.
Anwar turut memohon injunksi untuk menyekat Majlis Keselamatan Negara mengambil tindakan di bawah Akta MKN sehingga tuntutan mahkamah itu selesai.
Beliau menamakan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara sebagai defendan.
Peguam Anwar, Latheefa Koya berkata, pindaan perlembagaan pada 1983, 1984 dan 1994 merampas kuasa Agong secara perlahan-lahan.
“Pindaan terhadap Perkara 66 (4) mengubah cara ia dibaca selepas Hari Kemerdekaan,” katanya dalam satu sidang media.
Ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, saman itu bertujuan “menuntut semula demokrasi dalam negara ini dan rakyat perlu berbuat sesuatu.
Tegasnya, Anwar yang masih meringkuk dalam penjara sudah menunjukkan jalannya, kini “rakyat perlu memperjuangkan hak mereka”.
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menambah, tuntutan mahkamah itu bertujuan membantah Akta MKN dan memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak mengabaikan rakyat.
“Pemimpin akan menggunakan sebarang alasan untuk menggunakan Akta MKN. Tidak ada sebab menggubal undang-undang jika anda tidak berniat menggunakannya,” katanya.
Di bawah Seksyen 18 Akta MKN, Majlis Keselamatan Negara boleh menasihatkan perdana menteri untuk mengisytiharkan kawasan tertentu sebagai zon keselamatan jika tempat itu dianggap “terganggu atau terancam” secara serius.
Sesebuah kawasan itu boleh diisytiharkan zon keselamatan selama enam bulan dan perdana menteri mempunyai kuasa untuk melanjutkan tempoh itu dari semasa ke semasa.
Akta itu turut membenarkan pasukan keselamatan menahan sesiapa sahaja dalam kawasan kecemasan tanpa waran tangkap, jika mereka dianggap atau disyaki melakukan kesalahan.
Sehubungan itu, Akta MKN dikecam sebagai alat penindasan untuk menyekat demokrasi.