Polis syak kewujudan pembunuh upahan kecil

Polis syak kewujudan pembunuh upahan kecil

Mereka kebiasaannya bergerak dalam kumpulan kecil dan antaranya merupakan anggota kumpulan kongsi gelap.

noor-rashid-ibahim
KUALA LUMPUR:
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan wujud kumpulan kecil pembunuh upahan dalam beberapa kejadian tembak yang berlaku kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata mereka kebiasaannya bergerak dalam kumpulan kecil dan antaranya merupakan anggota kumpulan kongsi gelap.

“Ya, saya tidak menafikan beberapa individu tertentu yang mengambil upah menembak orang yang kebanyakannya dilakukan oleh warga tempatan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri majlis penutup pertandingan Kejohanan Menembak Persekutuan Antarabangsa (IPSC) Piala Ketua Polis Negara dan Terbuka PDRM 2016 di Lapang Sasar, Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am, Cheras di sini hari ini.

Noor Rashid berkata pihaknya ketika ini sedang mengumpul maklumat untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dalam kegiatan seperti itu.

Mengenai kes terbaharu melibatkan seorang lelaki maut ditembak di persimpangan lampu isyarat di Jalan Taman Ibukota di Setapak, Rabu lepas, beliau berkata pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menjejaki suspek.

“PDRM telah melancarkan satu siasatan yang rapi dan merancang satu tindakan khas berhubung kes berkenaan.

“Kami yakin suspek akan dikenal pasti dalam masa terdekat dan biarlah polis selesaikan siasatan dahulu, jika ada perkembangan kami akan maklumkan,” katanya.

Dalam kejadian 3.35 petang itu, mangsa yang berumur 43 tahun yang memandu kereta jenis Honda Accord maut terkena akibat 10 das tembakan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.