Ketua Hakim Negara saran kuasa mahkamah tinggi dan rendah dipisahkan

Ketua Hakim Negara saran kuasa mahkamah tinggi dan rendah dipisahkan

Ia bagi mengelakkan kewujudan persepsi negatif tentang kebebasan kehakiman sekiranya peguam negara kekal menerajui kedua-dua skim perkhidmatan.

Tun Arifin Zakaria
KUALA LUMPUR:
Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria menyarankan agar kuasa hakim di mahkamah tinggi dan mahkamah rendah diasingkan.

Menurutnya, kuasa hakim bagi mahkamah rendah seperti mahkamah sesyen dan mahkamah majistret seharusnya diletakkan di bawah Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Manakala, kuasa hakim mahkamah tinggi seperti Mahkamah Tinggi hingga ke Mahkamah Persekutuan pula diletakkan di bawah Peguam Negara.

“Peguam Negara ialah ketua bagi perkhidmatan perundangan yang terletak di dalam badan eksekutif. Manakala, pegawai kehakiman adalah sebahagian daripada badan kehakiman.

“Sekiranya peguam negara kekal menerajui kedua-dua skim perkhidmatan, saya gusar ia akan mewujudkan persepsi negatif tentang kebebasan kehakiman. Banyak pihak menyatakan pendapat yang sama,” katanya.

Ujarnya lagi, satu kertas cadangan telah dihantar oleh pihak Arifin kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan berhubung isu ini.

“Dalam sistem yang sedia ada, pegawai kehakiman hanya ada satu servis iaitu kehakiman dan perundangan. Namun melalui perubahan ini, sebarang penukaran bidang perlu mendapatkan persetujuan dari ketua masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Arifin turut menyampaikan sokongannya jika Mahkamah Siber diwujudkan seperti yang dicadangkan oleh pihak kerajaan.

“Kita alu-alukan dan sedang melatih pegawai-pegawai kami. Pegawai yang dilatih ketika ini tidak kurang dari 10 orang.

“Kita tidak akan bercakap soal menggunakan komputer tetapi lebih kepada kegiatan menggodam dan beberapa perkara lain,” jelasnya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.