
Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, mangsa berusia 57 tahun mengalami cedera parah di kepala selepas terkena tembakan daripada anggota berpangkat Lans Koperal berusia 32 tahun dari dalam bilik stor senjata di IPD Serdang.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata anggota yang bertugas di stor berkenaan menarik picu pistol jenis ‘Walther PPK’ sebagai prosedur biasa memeriksa pistol.
“Anggota berkenaan tidak menyangka terdapat satu lagi peluru di dalam pistol berkenaan.
“Peluru pistol itu menembusi tingkap di bilik berkenaan dan terkena mangsa yang berada di luar,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata mangsa daripada Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Serdang itu berada kira-kira 70 meter dari bilik berkenaan.
“Ketika itu mangsa sedang memeriksa enjin kereta sebuah kenderaan MPV di kawasan luar,” katanya.
Beliau berkata mangsa kemudiannya dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Serdang sebelum disahkan meninggal dunia pada 3.45 petang.
Aminuddin berkata pihaknya sudah mengambil keterangan anggota itu dan menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan.