Masuk hospital lagi, Dahlan Zainuddin dirawat di ICU

Masuk hospital lagi, Dahlan Zainuddin dirawat di ICU

Penyanyi lagu Kisah Seorang Biduan itu sebelum ini diserang angin ahmar pada Ramadan lalu dan terpaksa dimasukkan semula ke HKL selepas keadaannya bertambah kritikal.

dahlan-zainuddin
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon veteran Datuk Dahlan Zainuddin kini sekali lagi dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 22 Julai lalu susulan serangan angin ahmar dan jangkitan kuman di paru-paru.

Penyanyi terkenal berusia 75 tahun itu sebelum ini diserang angin ahmar pada 29 Jun ketika berada di Perlis bagi menghadiri program berbuka puasa bersama anak yatim.

Isterinya, Datin Effa Rizan berkata selepas dibenarkan keluar hospital sebelum ini suaminya hanya berkeadaan baik untuk dua hari pertama dan selepas itu, kesihatannya merosot.

“Beliau pada mulanya nampak berselera makan dan boleh bergerak sedikit, tetapi itu hanya dua hari pertama. Masuk hari ketiga, Dahlan tidak mahu makan dan kerap muntah,” katanya dipetik daripada Sinar Harian.

Selepas keadaannya semakin teruk dengan enggan makan dan minum serta muntah, isterinya menghubungi ambulans dan doktor terpaksa memberi ubat pelali untuk mengawal keadaan.

“Keadaan beliau kritikal, tapi stabil namun terpaksa ditempatkan di unit kawalan rapi (ICU) untuk pemeriksaan lanjut.

“Sabtu lalu, doktor mengesahkan ada jangkitan kuman pada paru-parunya. Kerana itu beliau ditidurkan sehingga kini.

“Semalam doktor membuka tiub dan membiarkan beliau bernafas sendiri, tetapi beliau agak agresif, jadi doktor terpaksa tidurkan semula,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kisah Seorang Biduan itu pernah membuat pembedahan pintasan jantung 11 tahun lalu.

“Keadaan beliau sebelum ini baik-baik saja. Walaupun ada diabetes dan darah tinggi, tetapi beliau tidak pernah lupa makan ubat,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.