7 didakwa dalam kes tembak ejen hartanah

7 didakwa dalam kes tembak ejen hartanah

Renyce Wong ditembak mati ketika bersama anak dan pembantu rumah pada hari pertama raya Aidil Fitri

police-tembak

KUALA LUMPUR:
Tujuh lelaki didakwa di Mahkamah Mejistret kerana menembak seorang ejen hartanah, Renyce Wong Siew Ling, awal bulan ini di Taman OUG.

M Pal Ganapathy dan S Vijendran didakwa dengan tuduhan membunuh, manakala lima lagi – Chin Kok Leong, Chen Yuen Meng, K Sri Kanapathy, K Sattiyarad dan Liew Lai Chen didakwa dengan tuduhan bersubahat.

Ketujuh tertuduh berdepan hukuman mati sekiranya disabit kesalahan. Tiada pengakuan direkodkan.

Mejistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan 4 Oktober sebagai tarikh sebutan seterusnya sementara menunggu laporan bedah siasat.

Isteri Kok Leong, Leong Chooi Hong, dibebaskan dengan ikat jamin. Peguamnya N Sivananthan berkata suri rumah itu akan menjadi saksi pendakwaraya.

Kok Leong diwakili peguam Lai King Lung dan Simon Sabapathy, manakala Sri Kanapathy diwakili Nur Hayati Don Omar.

Lima lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Nor Diana Nor Azwa tampil sebagai pendakwaraya dalam kes ini.

Renyce ditembak mati di Taman OUG di hari pertama raya Aidil Fitri. Ketika kejadian beliau dalam kenderaan Toyota Vellfire bersama anak dan pembantu rumah. Anak perempuannya, yang duduk di kerusi penumpang depan, terkena tembakan ketika penembak melepaskan lima tembakan ke dalam kenderaan itu.

Anak kecil itu mengalami kecederaan kepada usus di sembilan tempat, menurut laporan The Star Online.

Siasatan polis mendapati urusniaga perniagaan bernilai RM13 juta menjadi sebab tembakan itu. Renyce dikatakan memindahkan RM13 juta kepada seorang peniaga sebagai pelaburan dalam satu perniagaan. Tiada hasil diperoleh daripadanya.

Peniaga didakwa mengupah khidmat dua pembunuh upahan, pada harga RM60,000, untuk membunuh Renyce.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.