Suspek ke-10 kes tembakan di Taman OUG ditahan

Suspek ke-10 kes tembakan di Taman OUG ditahan

Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di Subang Jaya kira-kira jam 7.30 malam Selasa.

oug-shot-arrest
PETALING JAYA: Seorang lagi suspek ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang ejen hartanah wanita yang ditembak di Taman OUG, Jalan Klang Lama, pada 6 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dalam satu kenyataan berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di Subang Jaya kira-kira jam 7.30 malam Selasa.

Permohonan untuk mendapatkan reman akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan.

Ini menjadikan keseluruhan 10 suspek berada dalam tahanan polis untuk kes itu, termasuk dua pasangan suami isteri serta seorang pembunuh upahan yang melepaskan tembakan ke arah mangsa.

Seorang daripada suspek ditahan itu adalah peniaga jubin seramik yang dikenal pasti sebagai dalang utama mahu membolot RM13 juta yang dilaburkan mangsa untuk perniagaan jubin seramik.

Enggan memulangkan wang itu, lelaki berkenaan bertindak mendapatkan khidmat pembunuh upahan melalui pasangan peniaga gerai makan yang kemudiannya berhubung dengan sindiket pembunuh upahan di Perak untuk membunuh mangsa dengan bayaran RM60,000.

Datin Renyce Wong Siew Ling, 32, ditembak mati dua lelaki bermotosikal dari jarak dekat di Taman OUG, Jalan Klang Lama kira-kira jam 2.30 petang 6 Julai lalu, di mana satu daripada lima das tembakan itu terkena leher mangsa, manakala anak perempuannya berusia 8 tahun yang berada di tempat duduk hadapan penumpang turut cedera dalam kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.