Tukang urut Thai dihukum mati edar dadah

Tukang urut Thai dihukum mati edar dadah

Sarawannee didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.2kg pada 28 April 2014.

gantung

ALOR SETAR:
Seorang tukang urut warganegara Thailand dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini setelah didapati bersalah mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Choo Ka Sing membuat keputusan itu terhadap Sarawannee Pisitsakunwong, 31 selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.2kg pada 28 April 2014, 3.40 petang di Unit Pemeriksaan Penumpang Bas/Pejalan Kaki, Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu.

Sarawannee didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh di hukum dibawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.

Dalam penghakimannya, Choo mendapati kesemua keterangan dibuat pihak pembelaan adalah bersifat penafian semata-mata dan tidak cukup untuk menimbulkan keraguan munasabah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kastam Diraja Malaysia Mohd Izhanudin Alias manakala tertuduh diwakili peguam D.Ai Cha Ran.

Peguam tertuduh memaklumkan tertuduh yang berasal dari Bangkok, Thailand bekerja sebagai tukang urut sejak 2011 di Bukit Bintang Kuala Lumpur, dan merupakan ibu tunggal yang mempunyai dua anak perempuan masing-masing berusia 7 dan 11 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.