Sumber pihak keselamatan Thai di Sungai Golok berkata, terdapat laporan kemungkinan mereka kini berada di Thailand.
Pegawai berpangkat tinggi itu yang enggan mendedahkan identitinya berkata, polis Malaysia meminta bantuan dan kerjasama rakan mereka di Thailand untuk menyiasat kemungkinan itu.
“Anggota polis dan pasukan keselamatan Thai diminta berjaga-jaga dan memerhati dengan teliti kemungkinan kedua-dua individu terbabit berada di Sungai Golok atau tempat-tempat lain di selatan Thailand.
“Siasatan sedang dijalankan secara sulit terhadap kemungkinan kedua-duanya berada di sini (Sungai Golok),” katanya.
Sumber itu berkata, kawalan keselamatan di pintu masuk selatan Thailand diperketatkan, termasuk jeti pendaratan haram di sepanjang Sungai Golok.
Kedua-dua suspek itu dikenali sebagai Md Saifuddin Muji, 28, dari Rengit, Johor dan Jasanizam Rosni, 33, dari Parit Raja, Johor.
Poster kedua-dua lelaki itu turut ditampal di enam jeti pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sejak tiga hari lalu.
Sementara itu, seorang penduduk tempatan di Sungai Golok berkata, dia dimaklumkan pegawai keselamatan kedua-dua rakyat Malaysia itu mempunyai seorang rakan warga Thai di pekan sempada berkenaan.
“Saya diberitahu, rakan kepada kedua-dua rakyat Malaysia itu pernah bekerja di sebuah restoran di Johor, tetapi kini dipercayai berada di Sungai Golok dan bekerja sebagai penjual CD,” katanya sambil menambah penduduk diminta membantu pihak keselamatan Thai memantau kehadiran dua rakyat Malaysia itu.
Lapan mangsa cedera dalam letupan bom di sebuah pusat hiburan di Selangor itu, pada 28 Jun lalu. Ia disahkan serangan IS pertama di negara ini.
