Pembunuh ejen hartanah di OUG tak dapat upah RM10,000

Pembunuh ejen hartanah di OUG tak dapat upah RM10,000

Pekerja kilang yang ditahan di Tampoi, Johor pada Sabtu lalu mengaku adalah pembonceng motosikal yang melepaskan tembakan ke arah Datin Renyce Wong Siew Ling dan anaknya.

tembak

PETALING JAYA:
Penembak upahan yang membunuh ejen hartanah wanita di Taman OUG, Jalan Klang Lama pada 6 Julai lalu tidak dibayar upah RM10,000 seperti dijanjikan.

Menurut laporan Malay Mail hari ini yang memetik sumber sebagai berkata, pekerja kilang berusia 29 tahun yang ditahan polis Sabtu lalu di Tampoi, Johor mengaku adalah pembonceng motosikal yang melepaskan tembakan ke arah Datin Renyce Wong Siew Ling dan anaknya.

Suspek itu mendakwa dia tidak mendapat bayaran seperti dijanjikan dan pistol yang digunakan untuk menembak mangsa diberikan seorang daripada rakan sejenayah di rumahnya pada malam sebelum kejadian itu.

Sehingga kini, sembilan suspek termasuk dua pasangan suami isteri ditahan polis dalam kes itu yang bermotifkan wang di mana dalang utama berhasrat membolot RM13 juta yang dilaburkan mangsa untuk perniagaan jubin seramik.

Peniaga jubin seramik itu kemudiannya bertindak mendapatkan khidmat pembunuh upahan melalui pasangan peniaga gerai makan yang berhubung dengan sindiket pembunuh upahan di Perak untuk membunuh mangsa dengan bayaran RM60,000.

Mangsa berusia 32 tahun itu maut akibat ditembak mati dua lelaki bermotosikal dari jarak dekat di Taman OUG, Jalan Klang Lama kira-kira jam 2.30 petang 6 Julai lalu, di mana satu daripada lima das tembakan itu terkena leher mangsa, manakala anak perempuannya berusia 8 tahun yang berada di tempat duduk hadapan penumpang turut cedera dalam kejadian itu.

Polis turut menyiasat suami mangsa, Wong Chun Kee yang menjalankan perniagaan di China bagi mengenal pasti jika dia terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram, memandangkan laporan terdahulu menyatakan lelaki itu mungkin terbabit dalam skim Ponzi di China.

Sementara itu, China Press memetik sumber sebagai berkata, selepas melalui dua pembedahan, anak perempuan mangsa kini dalam keadaan stabil dan semakin pulih, tetapi masih dirawat di hospital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.