Menurut laporan China Press, pekerja kilang berbangsa India yang berusia 29 tahun itu ditahan di Tampoi, Johor pada Sabtu lalu.
Difahamkan, suspek terbabit adalah pembonceng motosikal yang melepaskan tembakan ke arah mangsa pada hari kejadian.
Sumber yang dipetik akhbar berbahasa Cina itu berkata, penembak itu berasal dari Sungai Siput, Perak dan ini adalah kali pertama dia menyertai misi pembunuhan.
Ini menjadikan sembilan suspek yang terdiri daripada dua wanita dan tujuh lelaki ditahan polis setakat ini dan polis masih memburu seorang suspek berbangsa Cina.
Lapan daripada suspek itu yang terdiri daripada sepasang suami isteri Cina menjalankan perniagaan jubin seramik serta satu lagi pasangan suami isteri Cina yang merupakan pemilik gerai makan, selain empat suspek lelaki India yang menganggotai sebuah sindiket pembunuh upahan ditahan di Kuala Lumpur dan Perak, Selasa lalu.
Polis akan memohon lanjutan reman ke atas lapan suspek itu yang tamat hari ini, manakala suspek kesembilan akan direman sehingga Khamis ini.
Menurut sumber dipetik China Press, selain dalang utama yang merupakan peniaga jubin seramik serta isterinya, tujuh suspek lain berada di tempat kejadian untuk menyertai misi pembunuhan itu, di mana pemilik wanita gerai makan berperanan sebagai pengarah misi berkenaan.
Manakala dua lagi suspek India bertanggungjawab melakukan pembunuhan dan baki empat suspek India adalah pemerhati keadaan sekeliling.
Sehingga kini, polis juga belum menemui RM13 juta yang diserahkan mangsa kepada dalang utama untuk melabur dalam perniagaan jubin seramik.
Peniaga jubin seramik itu yang enggan memulangkan wang pelaburan mangsa bertindak mendapatkan khidmat pembunuh upahan melalui pasangan peniaga gerai makan yang kemudiannya berhubung dengan sindiket pembunuh upahan di Perak untuk mendapatkan khidmat penembak bagi membunuh mangsa dengan bayaran RM60,000.
Datin Renyce Wong Siew Ling, 32, maut akibat ditembak mati dua lelaki bermotosikal dari jarak dekat di Taman OUG, Jalan Klang Lama kira-kira jam 2.30 petang 6 Julai lalu, di mana satu daripada lima das tembakan itu terkena leher mangsa, manakala anak perempuannya berusia 8 tahun yang berada di tempat duduk hadapan penumpang turut cedera dalam kejadian itu.
