Tan Sri Zainuddin Maidin yang juga bekas menteri penerangan itu berkata ini kerana akhbar tempatan berkait rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan ditekan pihak pemerintah.
“Itu sudah biasa. Sikap ini sudah tidak mengejutkan lagi dan sudah menjadi tradisi,” kata beliau.
“Dulu orang percaya kepada Jabatan Penerangan, orang percaya RTM, orang percaya TV3, sekarang mereka sudah hilang kepercayaan itu.”
Katanya, beliau sudah tidak lagi membaca surat khabar kerana kandungannya “propaganda semata-mata”.
“Ini semua kesilapan dan kelemahan Najib menguruskan media secara profesional,” katanya ketika dihubungi FMT.
Tinjauan FMT hari ini mendapati kesemua akhbar harian utama negara ini tidak langsung melaporkan berita Jabatan Kehakiman AS menyita aset berkaitan 1MDB bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion), walaupun ia menjadi tajuk besar media antarabangsa.
Zainudin berkata Najib seharusnya bertanggungjwab menangkis segala laporan melibatkan beliau dan 1MDB sekiranya ia tidak benar kerana boleh memberi kesan buruk kepada nama baik Malaysia di mata dunia.
“Sesuatu yang membimbangkan sekiranya kerajaan tidak dapat memberi penjelasan yang boleh menyakinkan dunia profesional di luar negara. Ia akan menjejaskan masa depan ekonomi kita dan keyakinan luar sebab negara tidak hanya perlu mendapat sanjungan daripada rakyat semata tetapi dalam dunia globalisasi ini, penilaian luar negara juga penting,” katanya.
Pautan: Ke mana hilang? Akhbar Malaysia tidak lapor AS sita aset 1MDB