Kedua-dua suspek itu yang enggan memulangkan wang pelaburan mangsa bertindak mendapatkan khidmat pembunuh upahan melalui sepasang suami isteri yang merupakan pemilik sebuah restoran.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, pasangan pemilik restoran terbabit yang bertindak sebagai orang tengah itu kemudiannya berhubung dengan sindiket pembunuh upahan di Perak untuk mendapatkan khidmat penembak bagi membunuh mangsa dengan bayaran RM60,000.
Lapan suspek yang terdiri daripada kedua-dua pasangan suami isteri itu serta empat suspek lain yang menganggotai satu sindiket pembunuh upahan, termasuk dua penembak dalam kes terbabit, ditahan di Kuala Lumpur dan Perak kelmarin.
Kesemua suspek berusia 26 hingga 54 tahun itu akan direman sehingga Isnin depan untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Dalam kes ini kita sedang menjejaki seorang lagi suspek lelaki Cina untuk membantu kes,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Amar Singh menambah, selain tangkapan lapan suspek itu, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 19 bersama satu kelopak peluru disembunyikan dalam sebuah kereta di Chemor, Perak yang digunakan untuk membunuh wanita itu.
“Siasatan (ujian balistik) yang dijalankan ke atas senjata api itu mendapati ia turut digunakan dalam (tiga) kes dilaporkan Kontinjen Perak, iaitu dua kes tembak di Sungai Siput dan satu lagi di Chemor melibatkan dua suspek lelaki sama.
“Dua lelaki berbangsa India yang ditangkap di Perak itu mempunyai rekod jenayah lampau dalam tiga kes tembak di Perak, iaitu satu kes bunuh dan dua kes melepaskan tembakan di Sungai Siput Utara dan Chemor.
“Dengan tangkapan dan rampasan senjata api dalam kes ini, pihak polis berjaya menyelesaikan (empat) kes melibatkan mangsa ditembak,” katanya.
Selain lapan suspek itu tegasnya, polis juga sedang menyiasat dari mana mangsa memperolehi RM13 juta itu untuk melabur serta jika suami mangsa terbabit skim pelaburan haram dan aktiviti pengubahan wang haram.
Datin Renyce Wong Siew Ling, 32, maut akibat ditembak mati dua lelaki bermotosikal dari jarak dekat di Taman OUG, Jalan Klang Lama kira-kira jam 2.30 petang 6 Julai lalu.
Satu daripada lima das tembakan itu terkena leher mangsa, manakala anak perempuannya berusia 8 tahun yang berada di tempat duduk hadapan penumpang turut cedera dalam kejadian itu.
