Peniaga jubin seramik disyaki dalang bunuh ejen hartanah

Peniaga jubin seramik disyaki dalang bunuh ejen hartanah

Suami mangsa mendakwa seorang peniaga jubin seramik yang pernah mempelawa mangsa melabur dalam perniagaan itu menghilangkan diri selepas isterinya menyerahkan kira-kira RM5 juta.

taman-oug

PETALING JAYA:
Polis percaya peniaga jubin seramik yang ditahan semalam adalah dalang di sebalik kematian ejen hartanah wanita yang ditembak mati di Taman OUG, Jalan Klang Lama pada 6 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa memberitahu Oriental Daily, peniaga Cina yang ditahan itu adalah lelaki pertengahan umur yang dimaksudkan suami mangsa.

Jelasnya, suami mangsa pernah memberitahu polis yang isterinya menghadapi masalah perniagaan dengan lelaki terbabit sebelum suspek menghilangkan diri.

Difahamkan, polis menahan peniaga itu di sekitar Setiawan, Perak sebelum memberkas tujuh suspek lain.

“Polis menahan empat suspek Cina dan empat suspek India, termasuk dua suspek wanita. Polis turut merampas sepucuk pistol dalam operasi itu dan ia disyaki adalah senjata api yang digunakan suspek untuk membunuh mangsa.

“Senjata itu sedang menjalani ujian balistik bagi menentukan jika ia adalah senjata pembunuhan,” katanya.

Rusdi berkata, polis percaya motif pembunuhan ialah pertikaian perniagaan.

“Meskipun suami mangsa ada membuat pelaburan di China, namun hasil siasatan mendapati ia tiada kaitan dengan kematian isterianya,” katanya yang tidak menolak kemungkinan lebih ramai suspek akan ditahan.

Menurut laporan Sin Chew Daily, selain menjadi ejen hartanah, mangsa difahamkan turut terbabit dalam perniagaan butik kecantikan dan jualan langsung.

Sebelum ini, suami mangsa berusia 39 tahun memberitahu media yang kematian isterinya mungkin ada kaitan dengan seorang peniaga jubin seramik yang dikenali mangsa pada Julai atau Ogos tahun lalu.

Lelaki itu kemudiannya mempelawa mangsa melabur dalam perniagaan jubin seramik supaya lebih banyak cawangan dapat dibuka di seluruh negara.

Menurut Sin Chew Daily, lelaki itu bertindak menghilangkan diri selepas isterinya menyerahkan kira-kira RM5 juta dan mangsa mengupah penyiasat persendirian untuk mencari suspek dan mendapatkan wangnya semula.

Suami mangsa mengesyaki suspek bertindak membunuh mangsa terlebih dahulu selepas mendapat tahu isterinya ingin mendapatkan kembali wangnya.

Difahamkan, mangsa pernah mengadu kepada kakaknya mengenai perkara itu dan meminta beliau menjaga anak-anaknya jika berlaku perkara tidak diingini ke atasnya.

Datin Renyce Wong Siew Ling, 32, maut akibat ditembak mati dua lelaki bermotosikal dari jarak dekat di Taman OUG kira-kira jam 2.30 petang pada Hari Raya pertama lalu.

Satu daripada lima das tembakan itu terkena leher mangsa, manakala anak perempuannya berusia 8 tahun yang berada di tempat duduk hadapan penumpang turut cedera dalam kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.