Ketua Polis Daerah Shah Alam, Shafien Mamat hari ini mengumumkan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah meluluskan permohonan yang dikemukakan penganjur konsert itu.
Beliau yang dipetik Oriental Daily memaklumkan, pihak penganjur juga akan menempatkan sekurang-kurangkan 30 pengawal keselamatan dan anggota Rela bagi mengawal keadaan di dalam dan sekitar Stadium Malawati Shah Alam.
Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad yang dipetik Sin Chew Daily berkata, MBSA meluluskan permohonan itu tanpa mendapat tekanan mana-mana individu mahupun organisasi.
Jelasnya, semua proses permohonan konsert dipantau Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sejak Mei lalu dan MBSA menerima permohonan rasmi daripada penganjur pada Jumaat lalu.
“Kami dapati permohonan itu mematuhi semua prosedur, jadi tiada alasan untuk menolaknya,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan MBSA hari ini.
Beliau berkata, MBSA menetapkan beberapa syarat “ketat” untuk dipatuhi penyanyi itu dan penganjur ekoran bantahan sesetengah ahli majlis khasnya ahli majlis daripada PAS yang menyatakan Selena adalah artis seksi dan mampu merosakkan akidah umat Islam.
“Ia termasuk konsert perlu diadakan di lokasi tertutup bagi menjamin keselamatan penonton, pakaian tidak boleh terlalu terdedah, tidak boleh ada arak, rokok dan dadah, tidak boleh melebihi tempoh ditetapkan (sejam hinggan sejam 30 minit), tidak boleh disiarkan secara langsung serta harga tiket perlu terkawal (antara RM250 hingga RM500),” katanya.
Tambahnya, MBSA juga akan menempatkan anggotanya bagi memantau konsert itu dan bagi memastikan ia tidak melanggar peraturan ditetapkan.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Fuad Abd Latiff yang dipetik Sin Chew Daily pula berkata, polis belum mengeluarkan sebarang permit untuk konsert Selena, sebaliknya mereka akan menunggu maklum balas MBSA.
Kelmarin, Pemuda PAS menggesa pihak berkuasa menyekat persembahan konsert bintang pop remaja itu yang dijadualkan berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 25 Julai ini, kerana mendakwa ia merosakkan akidah umat Islam.
Pengerusi Lajnah Dakwah Pemuda PAS, Hafez Sabri turut menggesa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengeluarkan surat rasmi bagi tujuan itu.
Beliau berkata, kerajaan perlu merujuk Garis Panduan Hiburan terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum meluluskan sebarang penganjuran konsert.
Pemuda PAS dijadual mengadakan demonstrasi dan menyerahkan memorandum membantah konsert Selena pada jam 2.30 petang ini di Bangunan SUK, Shah Alam.