Veteran Umno persoal ideologi, falsafah parti Mahathir

Veteran Umno persoal ideologi, falsafah parti Mahathir

Pemikiran jenis apa menjadi sandaran parti baharu itu atau ianya untuk menjatuhkan Najib semata-mata, soal Mubarak

Aziz-Abdul-Rahman_mahathir_600

KUALA LUMPUR:
Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) hari ini persoalkan ideologi parti baharu yang ingin ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Veteran Umno itu berkata sesebuah parti tidak akan bertahan lama sekiranya perjuangannya hanya untuk menyerang atau menjatuhkan seseorang, atau dalam hal ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Saya buat parti baru, nak pergi bertanding nak jatuhkan Najib. Perjuangan apa itu?” soal Presiden Mubarak Tan Sri Abdul Aziz Rahman dalam satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

“Perjuangan mesti berasaskan ideologi, falsafah perjuangan. Kalau berjuang nak jatuhkan orang, itu jangka pendek.”

Beliau berkata demikian menyentuh hasrat Mahathir menubuhkan parti baharu menentang Barisan Nasional (BN) sekaligus memastikan parti pemerintah terkubur pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Antara individu yang didakwa menunjukkan minat dengan pembentukan parti baharu itu termasuk bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Meskipun begitu, Abdul Aziz yakin Mubarak tidak akan terpengaruh dengan parti baharu itu sekiranya ia ditubuhkan.

“Kita tak merasa tergugat dan Mubarak tak perhati isu ini sebagai isu berat dalam Pilihan Raya.

“Selagi pihak kerajaan dapat jalankan manifesto dia, dengan bajet dia, membantu rakyat jelata, selagi itulah saya rasa, insyaAllah, rakyat jelata akan putuskan dalam PRU14.

“Tun Mahathir rasakan dia boleh buat parti, buatlah tak apa. Nak buat dua tiga parti pun tidak apa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.