Kebanyakan pasar raya besar mengasingkan bahan organik daripada bukan organik, dan perbezaan ketara ialah harga barang makanan jauh lebih tinggi walaupun kuantiti sedikit.
Di Aeon Big Kota Damansara, misalnya, kacang hijau organik seberat 250 gram dijual pada harga RM5.90 berbanding dengan kacang hijau biasa yang dijual pada harga RM3.95 dengan berat 300 gram.
Manakala, tepung serbaguna organik seberat 900 gram dijual pada harga RM7.90, berbeza dengan tepung serbaguna buatan tempatan dijual dengan harga RM1.70 sekilogram.
Kicap soya organik dengan kuantiti 300ml pula dijual dengan harga RM10.50 manakala kicap soya buatan tempatan boleh dibeli dengan harga RM7.45 untuk 600ml.
Di Giant Big, jagung manis biasa dijual pada harga RM1.40 setongkol, manakala jagung organik dijual pada harga RM9.99 untuk dua tongkol.
Lobak merah yang diimport daripada China pula dijual pada harga RM4.99 sekilogram, dan jagung organik pula bernilai RM6.99 untuk dua batang lobak merah.
Bukan itu sahaja, separuh kobis bulat organik dijual dengan harga RM7.99, manakala kobis bulat biasa dijual pada harga RM2.99 sekilogram.
Kesemua barangan organik tersebut ditanda dengan pelekat organik dan sesetengah barangan mendapat pensijilan Skim Organik Malaysia (SOM).
Bagaimanapun, Ketua Jabatan Dietetik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Dr Basmawati Baharom mempersoalkan harga tinggi barangan organik.
“Sepatutnya makanan sihat dan sayur organik ni lagi murah. Saya tidak tahu siapa yang buatkan senario itu hingga menjadi mahal,” katanya ketika dihubungi FMT.
Basmawati mengakui kesedaran rakyat Malaysia terhadap pengambilan makanan organik kurang disebabkan faktor harga.
“Bila sebut organik, makanan sihat, mentaliti masyarakat kita menyatakan, organik ni bahan makanan yang mahal,” ujarnya.
Beliau menyarankan agar rakyat Malaysia bercucuk tanam secara sendiri bagi mengurangkan kadar perbelanjaan barangan keperluan harian.
“Sebenarnya sayur dan makanan organik senang sahaja untuk diperolehi, kita tanam di belakang rumah sahaja,” jelasnya.
