Menteri Sarawak dalam Kabinet diminta bantu proses penurunan kuasa

Menteri Sarawak dalam Kabinet diminta bantu proses penurunan kuasa

Ketua menteri kini mengumpulkan satu pasukan pakar dari negeri itu untuk membantu dalam undang-undang dan perlembagaan.

adenan-satemsarawak
KUCHING: Menteri persekutuan dan kakitangan kanan kerajaan dari Sarawak di Semenanjung Malaysia, diminta membantu proses penurunan kuasa daripada kerajaan pusat kepada kerajaan negeri.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata mereka perlu bertegas berhubung hak negeri Sarawak.

“Hak dan keistimewaan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perlembagaan Persekutuan dan Laporan Suruhanjaya Cobbold,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan perjumpaan Pesta Gawai-Kaamatan anjuran bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) di Kampung Budaya Sarawak, di sini malam tadi.

Adenan berkata ia berikutan, kebanyakan pegawai dari Semenanjung yang mengendalikan proses itu, belum dilahirkan ketika lima dokumen itu digubal.

“Saya mengumpulkan satu pasukan pakar dari negeri ini untuk membantu kita dalam undang-undang dan perlembagaan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk melantik peguam negara persekutuan untuk berbincang dengan peguam negara Sarawak dan terdapat kemajuan dibuat mengenai perkara itu dan saya percaya Sabah juga melakukan perkara sama,” katanya.

Adenan mengulangi negeri itu tidak berhasrat untuk keluar daripada persekutuan ketika memohon penurunan kuasa mengenai hak dan keistimewaan kerajaan negeri yang terhakis sejak 53 tahun lepas.

“Malaysia adalah untuk kita apabila bekas pemimpin kita seperti Tun Jugah, Tun Abang Openg, Datuk Bandar dan Ling Beng Siew menandatangani perjanjian untuk menyertai Malaysia. Kita tetap memerlukan Malaysia sekarang dan pada masa depan. Kita tidak akan meninggalkan Malaysia.

“Tetapi kita tidak mahu diambil mudah. Sarawak bukan negeri dalam persekutuan kerana Malaysia ditubuhkan melalui perjanjian dan bukan secara penggabungan paksa,” katanya.

Adenan berkata kerana itu juga Sarawak memutuskan untuk meraikan setiap 22 Julai sebagai sambutan Hari Sarawak bagi mengingati pemimpin terdahulu dan keputusan mereka agar rakyat negeri ini menyertai Malaysia.

“Terdapat sokongan bagi pemulihan hak dan keistimewaan negeri, daripada semua rakyat Sarawak termasuk pihak pembangkang.

“Kemenangan besar BN dalam pilihan raya negeri baru-baru ini manifestasi bagi sokongan mereka kepada kami,” katanya.

Pada majlis itu Adenan bersetuju memperuntukkan sebidang tanah untuk bangunan DCCI seperti yang dipohon sebelum ini oleh Presidennya Datuk Joseph Salang Gandum.

“Pertubuhan anda akan mendapat tanah ini menjelang akhir tahun ini,” katanya tanpa menyebut keluasan dan lokasi tapak itu.

Presiden KCCI Bonipasius Bianis antara 700 tetamu termasuk 100 rakyat Sabah yang datang untuk acara tahunan itu bagi memupuk hubungan yang lebih baik dan rangkaian bagi kedua-dua komuniti etnik utama di Sabah dan Sarawak.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.