Selebriti media sosial mangsa ‘pembunuhan maruah’ di Pakistan

Selebriti media sosial mangsa ‘pembunuhan maruah’ di Pakistan

Qandeel, popular kerana menyiarkan video dan status Facebook bersifat 'rebel' telah dibunuh oleh abang kandunganya sendiri.

Qandeel Baloch dibunuh di Multan

MULTAN:
Selebriti media sosial Pakistan, Qandeel Baloch dibunuh di Multan, menjadi mangsa ‘pembunuhan maruah’ yang baharu di negara itu.

Qandeel, popular kerana menyiarkan video dan status Facebook bersifat ‘rebel’ telah dibunuh oleh abang kandunganya sendiri.

Menurut laporan portal berita tempatan Dawn, pegawai polis daerah, Sultan Azam mengesahkan Qandeel dicekik sampai mati oleh abangnya.

Pembunuhan maruah atau ‘honour killing’ merujuk kepada pembunuhan dilakukan anggota lelaki dalam keluarga sama ada suami, ayah, abang atau adik lelaki terhadap ahli keluarga wanita yang melakukan tindakan dianggap mencalar maruah keluarga.

Ada kalanya pembunuh bertindak sendirian seperti ayah membunuh anak perempuannya dan ada kalanya berkumpulan seperti ayah melakukannya dengan bantuan ibu atau abang.

Pembunuhan maruah sangat kerap dilakukan di negara dengan penduduk bersikap konservatif yang masih mengamalkan pemikiran tertutup.

Sebelum ini Qandeel diancam supaya berhenti memuatnaik gambar foto dan video di Facebook.

Polis berkata Qandeel berada di Multan sejak seminggu yang lalu untuk melawat ibu bapanya yang tidak sihat selain mahu menyambut Hari Raya bersama keluarganya.

Siasatan pakar forensik yang memeriksa mayat mendapati tiada tanda-tanda penyeksaan ditemui pada badan mangsa.

Abangnya, Waseem melawat keluarga Qandeel pada waktu malam, apabila Qandeel sedang tidur dan mencekik bunuh mangsa sehingga mati.

Pegawai Polis Bandar Multan mengesahkan suspek yang telah melarikan diri akan ditangkap secepat mungkin.

Siasatan juga mendapati Qandeel pernah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri Pakistan, pihak berkuasa Siasatan Pesekutuan (FIA) dan penguatkuasa kanan Islamabad meminta memberikannya perlindungan keselamatan.

Menurut Qandeel, hidupnya berada dalam bahaya dan menerima ancaman bunuh melalui panggilan telefon serta tidak mempunyai sebarang langkah keselamatan yang dipasang di rumahnya.

Qandeel terkenal melalui ‘selfies’ yang disiarkan olehnya di media sosial sekali gus mengumpulkan puluhan ribu pengikut.

“Tidak ada yang baik dalam masyarakat ini. Ini masyarakat patriarki tidak baik,” kata Qandeel dalam satu temu bual baru-baru ini.

Dalam salah satu muatnaik status Facebook terakhir, Qandeel mengulangi kenyataan, “Tidak kira berapa kali saya ditolak ke bawah …Saya seorang pejuang, saya akan kembali.”

“Qandeel Baloch adalah inspirasi kepada wanita yang ditindas… Saya tahu anda terus membenci, siapa peduli?” tulis Qandeel yang sering merujuk dirinya sebagai “wanita tentera solo”.

Awal bulan ini, Qandeel tampil dengan sebuah video muzik bertajuk ‘Ban’ yang turut dibintangi penyanyi muda Aryan Khan.

Video muzik itu menyentuh status Qandeel sebagai ikon media sosial kontroversi dan provokatif oleh masyarakat konservatif Pakistan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.