Siapalah kami nasihatkan PAS pelan damai, kata Kadir

Siapalah kami nasihatkan PAS pelan damai, kata Kadir

Ikatan tidak berhak menasihati PAS memandangkan parti Islam itu merupakan salah satu parti tunjang di negara, kata bekas menteri itu.

Abdul-Kadir-Sheikh-Fadzir_pas_600

KUALA LUMPUR:
Satu-satunya parti yang bersekutu dengan PAS berkata ia tidak dimaklumkan mengenai pelawaan damai Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Pakatan Harapan baru-baru ini.

Bagaimanapun, Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheik Fadzir berkata beliau tidak berkecil hati.

“Saya rasa itu adalah selaras pendirian PAS sekarang iaitu untuk memainkan politik matang dan sejahtera serta tidak mahu main politik yang selalu menghentam sahaja,” katanya sewaktu ditemui pada majlis Perkasa semalam.

Kadir juga berkata PAS sebuah parti tunjang di negara ini dan dirinya tidak berhak menasihati parti Islam itu.

“Politik di Malaysia dalam keadaan ‘cair’, kerana kadang-kadang untuk bersatu dalam parti politik itu kita kena tengok cara dia. Kalau caranya kasar, terlalu tidak berdisiplin, macam mana hendak berbaik.

“Jadi biarlah macam mana akhirnya blok ketiga ini akan terjadi, keadaan akan menentukan,” ujarnya.

Kenyataan Tuan Ibrahim baru-baru ini menyeru parti pembangkang berhenti menyerang satu sama lain mendapat pelbagai reaksi dari pemimpin PKR, DAP dan Amanah.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyambut baik hasrat Tuan Ibrahim itu bahkan turut menawarkan meja rundingan untuk PAS.

Manakala, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad pula menggesa Tuan Ibrahim dan pimpinan tertinggi PAS yang lain membuat ketetapan sebulat suara jika mahu berdamai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.