“Wabak adalah masalah kecil. Pengeluaran masih sama. Ia boleh ditangani dengan suntikan vaksin dan tidak membahayakan manusia,” kata Pengerusi Unit Ayam dan Daging Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia, Kwei Yu Tong.
“Masalah harga ayam di pasaran jadi mahal, kami tidak boleh buat apa. Sedangkan kami sendiri pun rugi,” kata Kwei, yang menambah harga ayam ditetapkan antara RM5.50 dan RM5.80 sekilo.
Jangkitan bronkitis ayam menular dengan cepat apabila terdapat lendir pada hidung serta kesukaran bernafas. Selera makan juga turut menurun di mana virus tersebar melalui udara yang boleh menyebabkan kematian pada ayam.
Jurucakap sebuah syarikat pengeluar vaksin haiwan di Petaling Jaya turut bersetuju penyakit ayam itu tiada kaitan dengan harga ayam.
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Kay juga berkata hanya ayam yang sihat akan diberi vaksin.
“Vaksin akan diberi melalu cara minum. Bekas minum haruslah bersih namun proses pembersihan tidak harus menggunakan sabun mahupun sebarang cecair kimia.
“Minuman bercampur vaksin seharusnya tidak mengandungi kandungan zat lain yang juga boleh mematikan virus,” katanya kepada FMT menjelaskan perniagaan syarikat itu.
“Beberapa jam sebelum ayam divaksin, mereka tidak boleh makan kerana mahu pastikan vaksin itu akan berkesan di dalam tubuh badan ayam berkenaan,” ujarnya ringkas.
Sebelum ini, Perkhidmatan Veterinar mendakwa penternak cuba mengambil kesempatan menaikkan harga ayam secara mendadak sehingga RM10 sekilogram.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Datuk Dr Kamarudin Mad Isa berkata kematian ayam berpunca daripada faktor lain seperti jangkitan bakteria, gangguan makanan dan cuaca panas.
