Pemandu bas rempuh 10 kenderaan dibebas dengan jaminan polis

Pemandu bas rempuh 10 kenderaan dibebas dengan jaminan polis

Individu itu belum boleh didakwa kerana polis masih menunggu laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer.

Sum-Chang-Keong_bus_6001

IPOH:
Pemandu bas persiaran yang merempuh bahagian belakang 10 kenderaan lain berhampiran Terowong Menora Ahad lalu dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman empat hari berakhir hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata pemandu berkenaan yang berumur 51 tahun belum boleh didakwa kerana polis belum menerima laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Kami merujuk kertas siasatan kes kepada timbalan pendakwa raya semalam dan apabila laporan (Puspakom) siap kami akan rujuk semula kepadanya,” katanya kepada pemberita selepas program ‘High Profile Policing’ di Tesco Pengkalan di sini hari ini.

Chang Keong berkata, pihak polis juga mengambil keterangan semua pemilik kenderaan serta penumpang bas yang terlibat untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira 2.45 petang itu, bas tersebut merempuh 10 kenderaan lain di KM265.8, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan kerana dipercayai mengalami masalah brek.

Semua 28 penumpang bas, pemandu dan penumpang kenderaan lain selamat kecuali hanya seorang wanita berumur 21 tahun yang mengalami kesakitan di bahagian perut.

Bas persiaran itu mempunyai 63 saman tertunggak atas pelbagai kesalahan, manakala pemandu berkenaan memiliki sembilan saman tertunggak atas pelbagai kesalahan termasuk memandu laju sejak 2011 hingga 2015.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.