Berdamai boleh, masalahnya Hadi, kata DAP Johor

Berdamai boleh, masalahnya Hadi, kata DAP Johor

Masalah yang melanda PAS kerana sikap Presiden PAS yang sukar bekerjasama dalam membuat keputusan bersama pembangkang.

Sheikh-Omar-Ali_hadi-awang_pas_600

PETALING JAYA:
DAP Johor mengalu-alukan saranan seorang pemimpin PAS mengadakan “gencatan serangan” sesama parti pembangkang, tetapi mempersoalkan sama ada ia mendapat restu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Sejarah menunjukkan beliau (Hadi) seringkali ‘over rule’, gagal menghormati proses perbincangan dalam Pakatan Rakyat dan tidak amanah dengan keputusan bersama yang dicapai menerusi mesyuarat Majlis Presiden ketika itu,” kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali.

Hadi menimbulkan kontroversi tahun lalu selepas gagal hadir mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang pernah disertai PAS sebelum gabungan itu terkubur pada Jun tahun lalu.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru parti pembangkang berdamai dan menumpukan kepada usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN).

“Rakyat teramai keliru dan ada yang ketawa sendirian dan ada yang menggeleng kepala melihat keadaan politik pembangkang hari ini.

“Semua tersekat di dalam lumpur. Nak ke depan tak jelas jalan mana. Nak undur ke belakang rasa nak ke hadapan. Nak kekal tak jadi sebab dah tahu pasti tenggelam,” katanya.

PAS bukan sebahagian Pakatan Harapan, gabungan antara PKR, DAP dan Amanah yang menggantikan Pakatan Rakyat yang terkubur selepas pertelingkahan PAS-DAP mengenai hudud tahun lalu.

Pakatan Harapan diwakili Amanah juga baru-baru ini berdepan dengan calon PAS pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Omar berkata DAP, Amanah dan PKR tidak ada masalah berbincang dengan PAS “dalam usaha melawan kemungkaran dan rasuah Umno”.

Bagaimanapun, beliau berkata Hadi menjadi halangan kerana sikapnya yang sukar bekerjasama dengan pembangkang lain.

“Selesaikan dahulu masalah rumah tangga PAS. Jangan sampai pisang berbuah dua kali, nanti rakyat akan bertambah marah dan langsung hilang keyakinan terhadap pembangkang,” kata Omar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.