Penunjuk perasaan yang kebanyakannya berbaju merah berarak sejauh satu 1km dari Ibu Pejabat Umno Cheras sambil menyanyikan lagu ‘Inilah Barisan Kita’ dan membawa plakad tertera ‘penghina Islam harus dihukum’ dan ‘DAP rasis’.
Kekecohan berlaku apabila sebaik tiba di depan ibu pejabat DAP, kira-kira 30 anggota polis membuat sekatan dan tidak membenarkan mereka masuk.
Berlaku tolak menolak antara polis dan peserta perhimpunan itu, malah ada yang membakar mercun.
Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata Kor Ming diberi tempoh hingga akhir bulan Syawal untuk memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini kerana kenyataannya yang kurang ajar, biadab, tidak bertanggungjawab dan berunsur provokasi.
“Apa yang Kor Ming buat menghasut semua datang ke sini berkumpul untuk merusuh,” katanya.
Susulan kekecohan itu, polis hanya membenarkan sekumpulan kecil pimpinan perhimpunan berkenaan masuk bertemu wakil DAP, Chu Yoon Ming bagi menyerahkan memorandum.
“Kami berjaya menyampaikan niat kami untuk menunjukkan kami terus bersatu dan membantah. Jangan main-main dengan kami,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
