Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata walaupun terdapat beberapa kes membabitkan rakyat Terengganu dengan fahaman ekstrem kumpulan pelampau Islam sebelum ini, ia berlaku di luar negeri itu dan tidak direkrut secara terus di Terengganu.
“Setakat ini semua 64 sekolah pondok persendirian di Terengganu memang dipantau Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) merangkumi pelbagai aspek terutama silibus dan tahap keselamatan sekolah dan asrama.
“Kerajaan negeri juga berpuas hati dengan perjalanan pentadbiran sekolah pondok persendirian di Terengganu, bahkan sebahagian besarnya sudah berdaftar dengan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia dan mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan,” katanya selepas melawat beberapa sekolah pondok persendirian di Kuala Terengganu hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abdul Mutalip Abdul Rahim berkata, lebih seribu pelajar negeri itu yang melanjutkan pelajaran di Mesir dan Jordan didapati bebas daripada sebarang
pengaruh dan aktiviti kumpulan militan IS.
Menurutnya, kegiatan pelajar di bawah tajaan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu sentiasa dalam pantauan dua pegawai khasnya di sana.
Beliau berkata, sekiranya ada pelajar yang didapati terlibat, tindakan perundangan akan diambil dan tajaan mereka akan ditamatkan.
“Kalau ikutkan, lebih 1,000 pelajar kita di sana. Nasihat saya, fokus pada pendidikan (dan) jangan hampakan amanah (pada) diri sendiri, Allah dan Rasul, keluarga dan bangsa Johor,” katanua ketika menghadiri majlis amanat dan penyampaian sumbangan kepada pelajar Johor yang melanjutkan pelajaran ke Mesir dan Jordan 2016/2017 di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri hari ini.
– BERNAMA
